MELAKA 26 Mei – Berakhir sudah sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung dengan meriah dan jayanya bermula 24 hingga 26 Mei 2024 di Dataran Pahlawan.
Melaka menjadi tuan rumah sambutan HBN edisi kali ini. Program bertemakan ‘Yakin Boleh’ ini menyajikan 72 aktiviti menerusi 10 segmen gaya hidup Rakan Muda.
Sepuluh segmen gaya hidup di bawah jenama Rakan Muda ialah Rakan Aktif, Rakan Litar, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Demokrasi, Rakan Prihatin, Rakan Mahir, Rakan Niaga, Rakan Bumi dan Rakan Muzik.
Berkonsepkan festival secara outdoor dan indoor, kebanyakan program dilaksanakan secara terbuka persekitaran Dataran Pahlawan dengan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Melaka, manakala aktiviti indoor dijalankan dalam pusat beli belah seperti permainan e-sukan dan pameran melibatkan pelbagai agensi.
Kemuncak program adalah majlis perasmian yang disempurnakan Perdana Menteri pada 25 Mei lalu.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) kepada Tokoh Belia Lelaki, Tokoh Belia Wanita dan Pertubuhan Belia Terbaik.
APBN merupakan pengisian utama sambutan HBN 2024 bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta peranan golongan belia dalam agenda pembangunan negara.
Perdana Menteri juga turut mengumumkan tambahan lagi RM3 juta menerusi Rakan Muda bagi pelaksanaan lebih banyak program-program belia.
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, lebih banyak program berkaitan belia boleh dilaksanakan di seluruh negara menerusi peruntukan itu sekali gus menjadi penggerak semangat kepada belia untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.
“Dengan tambahan RM3 juta itu sudah tentu lebih banyak lagi program akan kita laksanakan bersama KBS,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Ab Rauf Yusoh, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim; Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Chin; Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abd Hamid; pemimpin kerajaan dan pimpinan belia seluruh negara.
MBM dan badan-badan gabungannya terlibat secara langsung dalam penganjuran pelbagai acara menerusi 10 segmen terbabit.
Sempena festival ini juga, belia Malaysia tidak ketinggalan menunjukan solidariti kita terhadap penduduk Palestin menerusi Program ‘Malam Solidariti Palestin’ yang dikendalikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
MBM merakamkan ucapan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada kerajaan khususnya rakan kongsi pembangunan belia, Kementerian Belia dan Sukan serta semua pemegang taruh belia dalam menjayakan sambutan kali ini.
Semoga kita berjumpa lagi di HBN akan datang!