Alhamdulillah. Hari ini saya bertindak sebagai moderator dan kadangkala terbabas menjadi panel dalam “Youth Debate on the Rising Cost of Living in the ASEAN Countries” anjuran CAYC.
Rumusan yang dapat saya kongsikan dengan para sahabat sekalian ialah:
PERTAMA
Pembentangan Bajet 2016 akan dibentangkan tidak lama lagi. Golongan belia pastinya mengharapkan akan ada lebih banyak insentif-insentif yang lebih berkesan dan khusus dalam menangani kos sara hidup. Insentif yang diharapkan mampu memfokus kepada belia yang masih belajar, yang bujang dan juga sudah berumahtangga.
KEDUA
Peluang perniagaan dan pekerjaan jelas terbuka luas di bawah insiatif AEC. Ramai yang gusar dan merungut akan pengambilan pekerja asing yang ramai. Golongan belia di negara ini perlu mengubahminda ke arah menerima cabaran dan merebut peluang dalam Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). Namun begitu, info AEC ini tidak begitu cukup bekalkan kepada anak muda bahkan kerajaan sendiri masih ragu-ragu tentang perlaksanaannya.
KETIGA
Pelbagai pelan pendidikan dilancarkan . Ada juga perlaksanaan secara ad-hoc. Di peghujungnya, belia kita tidak juga mendapat kerja. Mismatch pula berlaku dan jurangnya semakin membesar. Ilmu kemahiran kosong atau tidak memenuhi kehendak industri. Golongan belia mahukan amalan atau pendekatan terbaik sistem pendidikan atau human capital development yang boleh meningkatkan peluang belia kita mendapat kerja dan seterusnya meningkatkan sosioekonomi.
KEEMPAT
Pelbagai masalah dan ujian di hadapi dalam negara kita. Jiran-jiran ASEAN juga tidak terkecuali berdepan dengan ujian tersendiri. Dalam konteks Malaysia, kecamukan yang berlaku mengundang perhatian serius anak muda. Mereka melihat bagaimana semua isu dapat ditangani segera yang akhirnya akan menyebabkan mereka mudah mendapat pekerjaan dan gaji yang selesa seterusnya taraf hidup yang baik.
KELIMA
Menangani kos sara hidup tinggi secara mutlak merupakan perkara yang sukar dicapai berikutan keadaan ekonomi yang bersifat berubah-ubah. Namun, sebagai pengguna, isu kos sara hidup tinggi boleh dikawal agar kesannya adalah minimum. Cumanya masyarakat Malaysia khususnya golongan belia perlu mampu dan bijak membezakan antara kehendak dan keperluan harian.
KEENAM
Pemerintah dan pengguna perlu lebih kreatif untuk menangani kenaikan kos sara hidup yang berganda walaupun tanpa minat daripada pengusaha dan pembekal untuk turut sama memberi kerjasama. Idea yang lebih kreatif dan drastik serta berani dirasakan mampu menangani permasalahan ini.
KETUJUH
Tidak dapat tidak masyarakat awam terpaksa mengharungi keadaan kos sara hidup yang tinggi ini melalui perubahan gaya hidup demi kelangsungan. Tetapi inilah masalah utama masyarakat kita yang tidak mahu mengubah gaya hidup mereka. Bila menyentuh soal kos sara hidup, ianya dilihat tanggungjawab kerajaan semata-mata.
KELAPAN
Sesunggunya kos sara hidup bukanlah semata-mata mengenai peningkatan harga barangan dan perkhidmatan ataupun bagaimana untuk meningkatkan pendapatan sedia ada. Ia juga sebenarnya adalah persoalan mengenai pengurusan pendapatan yang diterima pada setiap bulan. Perkataan MENGURUS PENDAPATAN paling dibenci oleh golongan belia. Kata mereka, lepas tamat belajar pun dah berhutang belasan dan puluhan ribu. Disuruhnya pula jangan memilih kerja, tetapi kerja yang ada gajinya seakan menyuruh terus menambah hutang. Mereka buntu mencari jalan keluar.
KESEMBILAN
Kita sering mendengar ungkapan (cliché) “kenaikan harga ini adalah minima dan tidak membebankan rakyat” atau “kenaikan harga ini tidak dapat dielakkan dan rakyat perlu berjimat cermat, jangan membazir” keluar daripada mulut para pemimpin negara setiap kali berlaku kenaikan harga sesetengah barangan atau perkhidmatan. Apapun, kita terpaksa mengakui bahawa rata-rata ahli masyarakat sekarang mengeluh kerana berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Jadi apa ikhtiar kita untuk menangani masalah ini? Perlukah kita mengambil saranan para pemimpin supaya berjimat cermat dan jangan membazir sedangkan sumber kewangan yang terhad yang kita ada semakin hari semakin mengecil nilainya akibat dihakis oleh masalah kenaikan perbelanjaan sara hidup ini? Saat dan ketika ini bukan sahaja kehendak dikorbankan tetapi beberpa keperluan pula seakan dikorbankan
KESEPULUH
Apa yang ingin kita tekankan ialah pendekatan kepenggunaan dalam ajaran Islam adalah berasaskan kepada keperluan sebenar manusia bukannya penggunaan yang mengikut kehendak nafsunya kerana kehendak nafsu manusia adalah tidak terbatas. Akhirnya, diri sendirilah yang perlu bijak membuat keputusa. Pilihan di tangan anda.
Sekian terima kasih.
RIZAN HASSAN
KP MBM