MAJLIS BELIA MALAYSIA

Rombakan Sistem Pendidikan – Fokus kepada nilai teras pendidikan bukan pada pentaksiran

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik keprihatinan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terkait cadangan rombakan secara bersepadu terhadap sistem pendidikan negara.

MBM berpandangan usaha reformasi sistem pendidikan negara yang sedang digerakkan seluruh jentera Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah teraju YB Fadhlina Siddiq harus disokong semua pihak termasuklah pimpinan utama negara merentasi pelbagai latar.

MBM berpendapat proses reformasi sistem pendidikan negara harus menekankan soal nilai teras pendidikan bukannya pada pentaksiran semata-mata. Ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan holistik dapat dicapai.

MBM percaya sebarang bentuk rombakan kepada sistem pendidikan harus dibuat secara berperingkat dan tidak drastik. Sebarang bentuk perubahan dalam sistem pendidikan negara haruslah mengambilkira kesediaan guru, pentadbir dan murid yang sudah pasti merupakan kelompok yang paling terkesan dengan apa sahaja bentuk perubahan dalam ekosistem pendidikan.

MBM yakin anjakan perubahan dalam sistem pendidikan negara akan berlaku secara sistematik dengan pewujudan enam pasukan khas bagi memperkasa pendidikan negara, penggubalan pelan baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang bakal berakhir pada tahun 2025 dan penggubalan Kurikulum Baharu Pendidikan 2027.

MBM menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan usaha reformasi pendidikan dapat dilaksanakan secara cermat dan berhemah.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABD HAMID

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 19 September 2024

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »