KEMAMAN 7 Jan. 2013 – Peneroka Felda Seberang Tayur dekat sini yang terjejas teruk akibat banjir terburuk baru-baru ini akan menerima bantuan daripada Felda sebanyak RM17,000 untuk setiap keluarga.
Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Mohd. Helmi Fakhzan Abd. Wahab berkata, sebanyak RM10,000 akan disalurkan melalui Tabung Bantuan Kebajikan Peneroka manakala RM5,000 daripada Yayasan Felda dan RM2,000 daripada Felda kepada peneroka untuk membeli perkakas rumah yang rosak.
“Kita juga akan menyediakan kemudahan pinjaman segera tanpa faedah bagi membaiki kerosakan rumah sehingga RM40,000 kepada peneroka yang berminat untuk memohon.
“Pengesahan akhir senarai nama penerima bantuan yang layak akan dibuat pada Rabu atau Khamis ini manakala bantuan akan diberikan selewat-lewatnya bulan depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Program Gotong-Royong Perdana di penempatan itu yang dijayakan bersama dengan Majlis Belia Felda Malaysia di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Helmi Fakhzan, daripada 20 tanah rancangan Felda di negeri ini hanya Felda Seberang Tayur yang berdepan dengan masalah banjir.
Katanya, air yang naik setinggi tiga meter selama tiga hari sejak 25 Disember lalu memusnahkan banyak harta benda dan merosakkan kediaman dengan jumlah kerugian dianggarkan antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap rumah.
Tambahnya, lebih 500 mangsa daripada 117 keluarga terlibat dalam kejadian banjir yang disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh 40 tahun.