MAJLIS BELIA MALAYSIA

RESPON SEKATAN BANTUAN SUMBANGAN NGO KEPADA KUMPULAN SASAR DALAM TEMPOH PKP

oleh: Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin Felo Penyelidik, Majlis Belia Malaysia

Prosedur baru berhubung kaedah bantuan daripada Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) kepada kumpulan sasar yang terjejas teruk dalam tempoh PKP ini disambut resah oleh beberapa kumpulan. Ada yang membantah secara terang (reaksioner) ada yang bantahan senyap, tanpa suara, tetapi kesannya terasa. Kebimbangan mereka berasas, suara orang kecil yang keputusan pintu rezeki, kaum terpinggir, gelandangan, masyarakat pedalaman yang sentiasa mereka santuni terhalang atas prosedur baharu ini. Sebagai teman yang ikut menyumbang di lapangan kerja tidak berasaskan keuntungan (non-prophitable orientation) ini, kami  memahami bagaimana suara nurani para pendidik tidak formal (informal educator) dalam LSM (NGO)  yang saban waktu menggeluti denyut nadi keperitan rakyat ini dirasai. Justeru, makalah ini diharapkan dapat memberikan sudut pandang yang dinamika terhadap polemik ini dan beberapa saranan.


Keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini mengambil kira situasi semasa yang menyaksikan pertambahan mendadak kes-kes baru sekaligus memberi isyarat belum nampak tanda-tanda pendataran keluk jangkitan (flattening the curve) berjaya dicapai. Ia juga bagi mengekang exponential spike atau graf kadar peningkatan kes menjadi lebih cepat. Justeru keputusan memusatkan bantuan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk semua LSM sebelum diagihkan kepada golongan sasar diambil sebagai upaya memecahkan graf ini.


Justeru, kedua-duanya telah kita ketahui alasan masing-masing mewajarkan pendirian. Di satu pihak, keberahian untuk terus memberi dalam keadaan virus ini telah merebak sehingga negara polis dunia dan negara-negara raksasa ekonomi lumpuh. Manakala, di satu pihak ulul amri, pemegang taruh secara sivik, demokratik dan syarie mengambil keputusan dalam waktu yang sukar ini untuk memutuskan rantaian jangkitan. MKN berhadapan dengan situasi melibatkan maqasid nyawa, suatu tujuan yang besar kenapa didatangkan undang-undang (syariah), juga berhadapan dengan kemungkinan terputusnya bekalan keperluan asas (basic needs) masyarakat yang merupakan asas hak asasi. Namun, dalam waktu sulit, keberanian untuk mengambil keputusan tetap perlu dan ianya telahpun diambil. Kita haruslah menyambutnya dengan lapang dada, laraskan tindakan  dan gerak kerja berdasarkan template yang disediakan. 


Para penggerak LSM boleh sahaja beramal dengan cara yang dijajarkan itu. Memberikan arah dan petunjuk untuk memudahcarakan pihak berkuasa tembus kepada golongan sasar. Faktanya, ada sesetengah aktivis LSM terus diberikan mandat khas oleh pihak berkuasa untuk berada di garis depan membantu pihak kerajaan menyampaikan sumbangan. Hal ini menurut kami membuktikan keputusan ini tidaklah ketat, cuma garis panduan am untuk mengelakkan ada daripada kalangan aktivis LSM yang diminta kuarantin oleh pihak berkuasa boleh turun di lapangan memberi sumbangan, kerana gembira benar hatinya berada di depan kamera. Laporan yang kami terima begitulah. Sesetengah aktivis yang baru balik daripada kawasan/negara terjejas akibat Covid-19 ini terus berleluasa beraksi di lapangan, sehingga ia mencetuskan kebimbangan gelombang tsunami yang boleh meruntuhkan barisan depan negara. Jika cukup syaratnya, terbukti tiada tempoh kuarantin atau masalah kesihatan bincanglah melalui budi bicara dengan pihak berkuasa.Cara lain yang boleh mendamaikan antara semangat dan kebimbangan gelombang jangkitan meroket lagi adalah dengan cara mendaftar LSM yg layak, terbukti bekerja dengan beberapa syarat diperketatkan seperti pematuhan 100 % terhadap prosedur KKM, termasuklah prosedur ketika pulang ke rumah yang tentulah tidak dapat disiasat oleh pihak berkuasa. Cuci tangan dan peralatan kalis air, mandi, jangan menyentuh individu lain sebelum melakukan pencegahan diri.

 
Tindakan oleh pihak MKN ini tidak sekali-kali membunuh semangat mandiri LSM. Malah meluaskan lagi kreativiti kita untuk memberi. Soal kerajaan menghalang kemerdekaan mereka daripada berbakti tidak timbul. Keputusan ini hanya diambil dalam tempoh singkat ini berbanding ribuan hari-hari lepas (ketika sebelum pandemik), LSM bebas memperagakan jasa kepada khalayak. Cuma, waktu ini sahaja, bakat itu dialihkan oleh kerajaan melalui pemusatan bantuan.


Patut kita faham, tindakan ini bukan menafikan peranan besar LSM. Jangan beromantisme pada musim-musim kini. Kerja sukarela ini bukan muluk-muluk dapatkan bantuan, berswafoto bersama penerima. Ianya mensyaratkan kerja keras, teliti dan tentu sekali harus faham, bukan hanya semangat melambung berdengung. Kita tetap boleh bekerja, di luar tabir atau di balik tabir, bergantung kepada kecondongan hati masing-masing. Menghimpunkan sumbangan kepada JKM bukan isyarat kita diketepi, cuma dihargai seadilnya pada waktu-waktu yang sukar begini. Ianya bukan berkait menang – kalah, tetapi menang – menang. Sama rasa, sama merasa.  

Selamat berkhidmat para pejuang rakyat terpinggir!

Bertarikh 28 Mac 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »