Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menghoskan perbincangan Sidang Meja Bulat Rukun Negara dalam agenda pembangunan negara yang dimudahcarakan oleh saudara Dhanesh Basil, Presiden Majlis Belia India Malaysia (MIYC).
Sidang kali ini menampilkan Pembicara Utama: Saudara Eddin Khoo Budayawan tanah air, manakala para pembahas terdiri daripada wakil-wakil badan gabungan MBM seperti berikut :
- Sdr. Alif Anas Md Noor, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
- Sdr. Arunkumar Chengoden, Presiden Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO)
- Sdr. Clive Allen Williams Hunt, Presiden Majlis Belia Orang Asli (MBOA)
- Sdr. Abg Abd Aziz Draup, NaibPresiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS)
- Sdr. Zikri Zainudin, Ketua Penerangan Majlis Belia Sabah (MBS)
- Sdri. Jessy Ng Chor Eng, Exco Majlis Belia Malaysia (MBM)
- Muhammad Ghazali Othman Naib Presiden (Penaja) Majlis Belia OKU (MBOKU).
Intipati sidang ini membawa kepada resolusi seperti berikut :
- MBM dan badan badan gabungan bersetuju memperkasakan Rukunegara sebagai Tiang Seri Bangsa yang menyatupadukan rakyat dan belia untuk hidup dengan penuh kerukunan dan sama-sama membina masyarakat dan negara Malaysia;
- MBM perlu menjadi pemangkin (catalyst) kepada penubuhan memori / kenangan yang diinstitusikan (institutionalized memory) sebagai tapak kepada para belia untuk saling mengenang dan mengingati kepentingan bersama;
- Pergerakan belia di Malaysia ini disarankan menjadi sebagai sebuah badan pembelajaran (learning organization) yang dapat memindahkan pengetahuan mengenai sesuatu nilai-nilai kepercayaan, adat dan budaya kaum yang terdapat di negara ini untuk memupuk persefahaman. Caranya melalui pendekatan program dan budaya organisasi yang meraikan kepelbagaian, saling berkongsi makna keragaman dan perpaduan;
- Syor agar diwujudkan acara pertunjukan kebudayaan pelbagai kaum di negara ini secara berkala. Sebagai contoh pada minggu keempat setiap bulan. Gelanggang acara berkenaan boleh dipelbagaikan di kampung-kampung tradisional Melayu, taman-taman perumahan yang memiliki demografik pelbagai kaum, estet-estet, pasaraya, universiti dan pelbagai lainnya;
- Menanamkan dalam diri setiap warganegara bahawa kita berkongsi pengalaman sejarah, tujuan dan pada satu tahap budaya berciri keMalaysiaan yang sama;
- Gerakan belia harus mengangkat kempen penghayatan dan merakyatkan Rukunegara dengan lebih intensif dan agresif melalui program, media dan citra mereka. Peranan gerakan ini yang telah teruji sebagai melting pot yang menghimpunkan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan harus terus diperkasa. Justeru MBM melancarkan Kempen #MerakyatkanRukunegara;
- Malaysia adalah negara dengan tingkat etnisiti yang rencam tetapi satu-satunya mampu mempertahankan keharmonian. Justeru, sesuatu perlu dipelajari daripada kearifan pelbagai kaum di negara kita ini iaitu nilai-nilai Timur – santun dan saling menghargai. Justeru, disarankan pihak berwajib membangunkan nilai-nilai ini sebagai komponen wajib dalam semua struktur sosial dalam negara.
Justeru, MBM menggesa semua pemegang taruh yang bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung berkhidmat untuk negara, dibiayai oleh wang rakyat haruslah mengalirkan semangat ini dalam setiap tindakan mereka. Perpaduan sosial adalah pemboleh ubah utama yang menentukan jatuh bangun sesebuah negara. Marilah sama-sama kita pelihara dan mengamalkannya secara menyeluruh.
Dikelurakan Oleh
Majlis Belia Malaysia
Tarikh: 11 Jun 2021