9 Julai 2019 / Wisma MBM Kuala Lumpur
Atas keprihatinan terhadap nasib dan masa hadapan belia luar bandar, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan Sidang Meja Bulat: Ekonomi Belia Luar Bandar. MBM berhasrat mahu membela nasib belia luar bandar dan mahukan kelompok ini terus mendiami kawasan peluang luar bandar dengan peluang ekonomi yang saksama dan persekitaran yang menarik. Agenda dan usaha berterusan kemakmuran bersama di antara bandar dan luar bandar akan mengelakkan penghijrahan besar-besar belia ke bandar yang menyebabkan. Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar diharapkan dapat memandu semua pihak berkaitan sebaiknya untuk membangunkan kawasan luar bandar. Sidang meja bulat menampilkan wakil-wakil kementerian berkaitan dan pimpinan belia luar bandar dengan menghasilkan resolusi dan cadangan berkaitan polisi, program dan pembentukan minda & sikap seperti berikut:
1. Menggalakkan belia luar bandar untuk meneroka dengan mengikuti kursus-kurus yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan luar bandar seperti pengurusan industri sawit dan kursus pemanduan jentera berat;
2. Kerajaan dan NGO seperti MBM terus mencari formula dan kaedah terbaik mendidik dan merubah minda dan sikap para belia untuk rajin dan beramanah dalam berusaha memajukan diri;
3. Mencadangkan agar meneruskan geran bantuan pertanian dan keusahawanan kepada belia luar bandar namun ianya mestilah bersifat geran sepadan dan didahului dengan 20% usaha awal. Geran mestilah dipermudahkan dan dikurangkan karenah birokrasi serta mempunyai mekanisme pemantauan oleh kerajaan dan persatuan belia;
4. Kerajaan dan NGO harus mencari kaedah terbaik agar peluang-peluang berkaitan geran dan latihan yang ditawarkan di dalam Belanjawan Negara tersebar dan dapat diakses dengan mudah oleh belia luar bandar. Justeru Kerajaan disaran untuk meningkatkan liputan dan kelajuan internet di kawasan luar bandar dan Pusat Komuniti Desa & pejabat belia dan sukan daerah dan negeri dijadikan pusat informasi setempat. Satu portal khas mengumpulkan semua maklumat untuk belia mungkin wajar dipertimbangkan;
5. Biro Keusahawanan dan Pertanian MBM disaran membina jaringan dan kerjasama dengan Persatuan Rural Business Challenge (RBC) bagi melatih lebih ramai usahawan-usahawan belia luar bandar;
6. Dicadangkan diwujudkan Pusat Aktiviti Belia di Pusat Komuniti Desa bagi memberikan ruang dan peluang untuk dilatih dengan pelbagai kemahiran dan menjalankan aktiviti pembangunan belia;
7. Dicadangkan diwujudkan rancangan tanah belia atau bandar belia di luar bandar bagi menempatkan belia dengan perumahan bersama dengan aktiviti ekonomi dan sosial.
Disediakan oleh: Biro Pertanian dan Industri Asas Tani
Resolusi akan dihantar oleh MBM kepada kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk tindakan.