MAJLIS BELIA MALAYSIA

Resolusi Perbincangan Meja Bulat Penggiat Industri Kreatif

29 Oktober 2020 | Atas talian (Zoom)

Resolusi ini telah diserahkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Dato’ Saifuddin Abdullah

1. Pengenalan

Lanjutan daripada pertemuan bersama YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia di Bangunan Parlimen pada 21 September 2020 lepas, MBM mengambil inisiatif mengelolakan Perbincangan Meja Bulat (RTD) bagi membincangkan isu berkaitan industri kreatif dikalangan anak muda. RTD ini mendapat kerjasama erat daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang menghantar pegawai kanan mereka untuk berpartisipasi.

Pemegang taruh daripada pelbagai kumpulan penggerak industry kreatif turut hadir bersama. RTD ini dipengerusikan oleh Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin, Felo Penyelidik MBM turut disertai Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha, Sdr. Kavita Maheendran, Exco MBM yang juga Anggota Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) dan Sdr. Nor Zakiah Azmi, Exco MBM . Beberapa dapatan daripada RTD ini dijadikan resolusi untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi bagi tindakan sewajarnya.

Resolusi ini dibahagikan kepada dua segmen; isu utama dan isu berdasarkan kluster. Butiran dan perbincangan mengenainya seperti berikut :

2. Isu Utama

a. Plaftorm Atas Talian Perbekalan Servis Kreatif

Setakat ini satu platform yang dapat digunakan oleh massa untuk mengakses bagi mendapatkan perkhidmatan kreatif. Platform yang dimaksudkan bersifat perisian yang menghimpunkan kepakaran kreatif dikalangan penggerak industri sebagai pembekal, manakala masyarakat awam sebagai pelanggan boleh mengakses. Ianya boleh dibangunkan bagi memastikan, kepakaran tempatan dimanfaatkan. Kebanyakan masyarakat yang mahu mendapatkan perkhidmatan kreatif tertentu tidak ‘dijodohkan’ dengan kumpulan berkepakaran yang dimiliki barisan penggiat industri. Justeru, ada dikalangan mereka mendapatkan perkhidmatan berkenaan daripada luar negara yang tentunya memakan kos lebih tinggi. Justeru, platform yang dibangunkan ini akan bertindak sebagai enjin carian dan penjodohon antara pelanggan dan pembekal servis menurut kadar yang ditetapkan.

b. Jaringan Internet

Disebabkan pembelajaran sepenuhnya secara atas talian, banyak masalah yang dihadapi oleh kumpulan penggerak kreatif samada di bangku pembelajaran atau kumpulan amatur untuk mendapatkan akses latihan, pelajaran, perkongsian untuk meningkatkan kapasiti mereka. Isu Veveonah Mosibin sebagai contoh. Bila berlakunya pandemik covid-19, terbongkar hambatan jaringan internet ini yang masih tidak saksama dinikmati oleh rakyat.

c. Program Industri Bersama Komuniti

Akses untuk membawa golongan artis dan pemain industri kreatif kepada masyarakat masih terhad. Antaranya soal kos untuk membawa mereka mengadakan perkongsian, ramah mesra dan inspirasi kepada golongan luar bandar. Jadinya golongan ini dilihat elit dan tidak merakyat. Justeru, dicadangkan geran atau dana diperuntukkan bagi tujuan khidmat komuniti industri kreatif Malaysia.

2. Isu Berdasarkan Kluster

2.1 Pereka Dalaman

  • Mengadakan kursus peningkatan kemahiran (reskilling, upskilling) untuk menguasai industri rekaan dalaman bagi memenuhi keperluan semasa.
  • Menyediakan geran/dana khas kepada penggerak industri rekaan dalaman untuk menghasilkan karya tulen, berciri lokal tetapi mendapat permintaan global.
  • Memberikan syor kepada pihak kerajaan agar agensi berkaitan mengadakan pertemuan dan dialog dengan pereka dalaman.

2.2 Filem

  • Disyorkan pihak KKMM melalui agensi seperti FINAS menetapkan peruntukan bernisbah antara pemain industri filem senior dengan yang baru bertapak. Rungutan daripada anak muda yang kreatif, berbakat mengatakan kebanyakan pemain industri filem senior memonopoli sehingga menggunakan saluran bawah meja untuk mendapatkan projek. Contoh nisbah yang patut diberikan adalah 60%: 40%.
  • Memberikan insentif agar filem Malaysia boleh diangkat sehingga ke peringkat OSCAR.
  • Memudahkan urusan anak muda mendapat lesen FINAS – contohnya tanpa perlu memiliki syarikat Sdn. Bhd yang mensyaratkan amaun tertentu dalam akaun.
  • Menggiatkan kemahiran asas perfileman bermula daripada sekolah menengah melalui kerjasama strategik antara pihak industri, NGO dan sekolah.
  • Untuk filem dokumentari, kerajaan disyorkan memberikan intensif lebih banyak kepada pengkarya kerana genre begini jarang diberikan perhatian oleh pihak industri, mungkin kerana kurangnya sambutan daripada massa. Melalui dana, kerajaan boleh menggalakkan penggiat filem menjalankan R & D untuk mencipta karya lebih berkualiti.

2.3 Artis

  • Saluran TV dan radio khas untuk belia. Contohnya : Youth FM. Ini bagi membolehkan ikon-ikon baru dibentuk disamping ruang luas untuk mereka berinteraksi dalam kelompok yang baru untuk membina kerjaya.
  • Tawaran membuat persembahan di peringkat arus perdana hanya diberikan kepada nama-nama besar, manakala nama-nama baru mendapat tawaran dengan bayaran tidak setimpal.

2.4 Permainan

  • Industri permainan mendidik belum lagi dibangunkan platformnya sebagai alternatif terhadap silibus pendidikan arus perdana.
  • Justeru, mohon jasa baik pihak kerajaan memberikan tumpuan terhadap perkara ini dengan menyediakan inisiatif ke arah itu.

2.5 Muzik

  • Kronisme – persembahan dalam acara-acara mega di negara hanya ditawarkan kepada ‘otai-otai’ muzik. Sedangkan ramai pemuzik berbakat tidak dapat ruang untuk berekspresi di pentas arus perdana.
  • Industri nasyid tidak terkecuali. Masih mengekalkan wajah-wajah senior dalam penampilan di pentas arus perdana.
  • Disyorkan kerajaan menyediakan juga kuota 50 – 50 atau setidaknya 30 – 70.

2.6 Komik

  • Industri komik di negara ini masih belum mendapat perhatian yang sewajarnya.
  • Menyediakan saluran bagi mendapatkan geran penghasilan komik berkualiti.
  • Membangunkan perisian yang dapat memudahkan penghasilan karikatur komik untuk menggalakkan peningkatan jumlah penerbitan.

3. Penutup

Semoga pihak kerajaan dapat mengambil perhatian dan pembelaan wajar terhadap suara penggerak industri kreatif muda ini. Mereka adalah duta-duta kecil yang dapat mengangkat wajah dan citra Malaysia kepada khalayak di luar melalui karya kreatif yang dihasilkan. MBM akan terus menjadi pemudahcara dan menyediakan ruang agar suara penggerak industri ini mendapat perhatian.

Disediakan oleh:

Jufitri Joha

Presiden

Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »