Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan satu “Persidangan Meja Bulat: Kongres Belia 2019” pada 30 Ogos 2019 untuk mendapatkan maklum balas serta input mengenai masa depan dan gerak kerja gerakan belia pasca pindaan Rang Undang-Undang 668. Persidangan yang dihadiri oleh pelbagai agensi termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), ahli-ahli akademik dan pelbagai ahli persatuan belia di bawah MBM telah membentuk satu resolusi untuk dibentangkan pada Kongres Belia 2019, antaranya;
- Pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh pemegang taruh persatuan belia harus memberi perhatian dalam menghak-upayakan persatuan belia untuk dijadikan medium penyerlahan bakat sekali gus dapat mengelakkan belia terlibat dalam gejala sosial. Perkara ini selaras dengan Dasar Belia Malaysia 2015 dan Agenda Belia Komanwel dalam mengarus-perdanakan belia merentas kementerian dan agensi.
- Memohon perkenan DYAM Tunku untuk merapatkan hubungan antara pergerakan belia dan Institusi Diraja agar program-program dalam membudayakan ilmu dapat dikongsi bersama belia dan rakyat secara amnya.
- Menggesa kerajaan agar bersunggung-sungguh menyelesaikan isu ekonomi termasuklah isu pengangguran, pemberhentian pekerja dan kelembapan ekonomi yang tekanannya akan terus dirasai oleh golongan belia.
- Menyeru agar seluruh pemimpin belia mengubah gaya berfikir dalam membentuk sebuah pertubuhan belia yang bebas daripada pengaruh mana-mana sentimen dan fahaman politik tertentu.
- Bersama-sama mempergiat usaha dalam membentuk nilai dan identiti belia negara agar nilai dan identiti tersebut dapat dijadikan simbol negara di mata dunia.
- Memperkasa agenda meremajakan institusi belia dengan membuka ruang kepada persatuan belia untuk bergerak aktif di sekolah-sekolah, Institut Pendidikan Guru, Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta
- Menggesa ahli politik di negara ini membudayakan politik matang dan politik rasional serta tidak mengheret institusi belia ke kancah politik sempit dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.
- Menyediakan merit kepada kepada individu yang aktif dalam aktiviti belia supaya memudahkan mereka mendapat peluang-peluang seperti kelayakan melanjutkan pelajaran, kenaikan pangkat dan sebagainya.
- Menanam sifat kemandirian kepada persatuan belia dengan menggalakkan budaya berfikir secara kreatif, penjanaan idea baru serta penglibatan dalam social enterprise agar tidak hanya bergantung semata-mata kepada dana kerajaan.
- Mengagresifkan lagi pendidikan tidak formal dalam menjadikan belia celik politik, pendidikan sivik dan celik kewangan bagi menyediakan satu generasi di masa hadapan yang kuat selaras dengan wawasan 2025 dan wawasan kemakmuran bersama.
15 SEPTEMBER 2019
PERSADA JOHOR INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
JOHOR BAHRU