MUAR 11 Jun — Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa kerajaan mempunyai agenda di sebalik penubuhan Parlimen Belia sempena perhimpunan sejuta belia di Putrajaya baru-baru ini.
Beliau menegaskan, penubuhan Parlimen Belia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah untuk memberi peluang kepada golongan belia bersuara atau menyampaikan pendapat mereka mengenai sesuatu perkara mengikut saluran yang betul.
“Jika ada Parlimen Belia, kita boleh dengar suara belia bukan dari suara-suara di tepi jalan sebagaimana diamalkan di negara-negara maju,” kata beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu.
Razali berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Belia Parlimen Muar di perkarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini. – Bernama