MAJLIS BELIA MALAYSIA

Rangkaian 5G mampu memberdayakan ekonomi negara menjelang 2030

Oleh :

Sivanesan Tamil Selvam

Ketua Penerangan

Majlis Belia Selangor Daerah Klang

5G (Fifth Generation) merupakan teknologi sambungan tanpa wayar generasi kelima dan kewujudannya adalah untuk mengurangkan segala isu yang berlaku pada rangkaian 4G sedia ada. Ia juga telah mula ditawarkan secara rasminya di Malaysia sejak 15 Disember yang lalu.

Sudah pasti rakyat di negara membangun seperti Malaysia ini amat menyokong agenda kerajaan yang mampu membangunkan negara dari aspek sosial dan ekonomi. Justeru pendekatan kerajaan dalam melaksanakan penyebaran rangkaian 5G di seluruh Malaysia merupakan satu anjakan paradigma dalam dunia teknologi serantau.

Penyediaan teknologi 5G setahun lebih awal dari jangkaan bukan sahaja akan menjadikan Malaysia antara negara terawal di rantau ini membina ekosistem 5G malah mengubah fungsi teknologi mudah alih itu kepada negara.

Menurut data statistik Jabatan Statistik Malaysia serta dapatan kajian kualitatif oleh Ernst & Young Consulting Services Sdn Bhd melaporkan bahawa pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia mampu meningkatkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5% atau RM122 bilion menjelang tahun 2030 dan menurut laporan bertajuk “Menganggarkan Impak Ekonomi Terhadap Rangkaian Borong Tunggal 5G di Malaysia” yang diterbitkan Digital Nasional Berhad mendapati bahawa pelaksanaan ini akan membuka pasaran terbuka kepada 148,000 pekerjaan baharu dalam tempoh berkenaan.

Dengan penyediaan perkhidmatan 5G secara meluas, ianya dapat memberi akses internet ke kawasan pedalaman yang sebelum ini tercicir dengan teknologi tanpa wayar ini. Manfaat dari usaha ini juga dapat menaik taraf dan memberi peluang lebih baik seperti aspek pendidikan, pendedahan kepada kemahiran baharu dan mutu perkhidmatan kesihatan. Selain itu, teknologi 5G juga membantu mengembangkan ekonomi masyarakat luar bandar dan perusahaan kecil untuk menerokai peluang pemasaran secara dalam talian (online).

Bukan itu sahaja, teknologi 5G sudah pasti memacu revolusi industri 4.0 seterusnya membolehkan perkhidmatan digital baharu kepada pengguna dan perusahaan. Secara keseluruhannya, impak terhadap ekonomi negara akan dijana sepenuhnya oleh pelaburan swasta dalam pelaksanaan 5G tanpa sebarang peruntukan ataupun jaminan daripada kerajaan. Kapasiti internet yang tinggi pada 5G juga mampu menampung peningkatan kadar sambungan internet pada peranti seiring dengan permintaan yang dipacu oleh internet benda (IoT).

Dengan kehadiran teknologi generasi kelima (5G), ia berpotensi besar untuk merancakkan komunikasi mudah alih melalui inovasi di samping mewujudkan industri baharu yang membawa manfaat besar kepada keseluruhan ekonomi negara.

Kerajaan perlu komited memperluaskan penyebaran rangkaian 5G di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak kerana ia menyifatkan dengan membawa keterhubungan ke kawasan luar bandar akan meningkatkan keterangkuman menyediakan lebih banyak peluang pendidikan, pembangunan kemahiran dan pekerjaan serta akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang penting.

Tarikh : 10 Januari 2023

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »