MAJLIS BELIA MALAYSIA

Rakan Belia Masjid : MBM Cadang Masjid Jadi Inkubator Usahawan Belia

KUALA LUMPUR 26 Sep – Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan agar institusi masjid diperkasa sebagai platform Inkubator Usahawan Belia bagi membuka ruang kepada golongan muda memasarkan produk serta mengembangkan perniagaan mereka.

Naib Presiden MBM, Hasnul Haniff Harun, berkata masjid tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti keagamaan semata-mata, sebaliknya boleh dimanfaatkan sebagai ruang pembangunan ekonomi dan keusahawanan belia.

“Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan ialah mewujudkan platform Inkubator Usahawan Belia di masjid bagi memperkenalkan produk usahawan muda kepada komuniti dengan harga yang berpatutan,” katanya ketika menjadi pembicara Bicara Belia Masjid sempena Majlis Aspirasi Rakan Belia Masjid Wilayah Persekutuan di Masjid Al-Mukhlisin, Cheras.

Sesi tersebut turut menampilkan wakil Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 250 belia, beliawanis dan pengerusi masjid itu menjadi platform memperkukuh penglibatan generasi muda dalam pengimarahan institusi masjid, susulan pelaksanaan program Rakan Belia Masjid yang dilancarkan pada awal tahun ini.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama YADIM itu dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang turut menyampaikan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Rakan Belia Masjid Wilayah Persekutuan.

Barisan jawatankuasa tersebut bakal menjadi penggerak utama dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti belia di masjid.

Untuk rekod, MBM dilantik sebagai salah satu rakan strategik dalam menjayakan inisiatif Rakan Belia Masjid.

MBM berharap inisiatif ini terus berkembang sebagai wadah memperkasa potensi belia, membina jaringan komuniti serta melahirkan generasi muda yang aktif berkhidmat dan bersama-sama memakmurkan rumah Allah.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »