Monday, 21 July 2008
MELAKA 21 Julai — Kementerian Belia dan Sukan akan mewujudkan pusat siber di semua kawasan Parlimen di negara ini untuk kemudahan golongan belia melayari Internet.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata bagi memastikan golongan belia memanfaatkan pusat siber itu, kementeriannya akan melantik sukarelawan daripada kalangan belia untuk memantau dan mengendalikan pusat siber itu.
“Suka saya maklumkan dalam perancangan pusat siber dan blog, kita akan wujudkan pusat siber di setiap Parlimen di seluruh negara,” katanya semasa berucap pada majlis penutup sambutan dan Perhimpunan Hari Belia Negara peringkat Negeri Melaka oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, Mohd Khalil menyampaikan anugerah Bintang Khidmat Cemerlang iaitu anugerah bintang tertinggi daripada Majlis Gabungan Belia Melaka kepada Ismail Sabri.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang juga Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka Datuk Idris Haron.
Pusat siber itu adalah sebahagian perancangan kementerian selepas pelancaran program Belia Siber baru-baru ini.
Ismail Sabri berkata bagi memahami inspirasi golongan belia, kementeriannya juga mewujudkan laman blog untuk mereka.
Katanya kementeriannya menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memperluaskan sistem penyampaian program pembangunan belia selain untuk mendampingi golongan itu. Beliau berkata kementerian juga menyalurkan bantuan pengupayaan kepada 3,693 persatuan belia di seluruh negara di mana setiap persatuan menerima bantuan RM3,000.
“Kita juga akan memperluaskan bantuan pentadbiran kepada persatuan belia peringkat negeri dan daerah,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya tidak lagi menganjurkan program tetapi menyerahkan kepada persatuan belia untuk menganjurkan program bersesuaian dengan kehendak mereka.
“Saya amat berharap usaha-usaha yang dilaksanakan ini akan mendatangkan hasil yang positif dan mendapat kerjasama berterusan daripada semua pihak,” katanya.
— BERNAMA