MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pusat belia wilayah mampu selesai isu belia bandar

KUALA LUMPUR: Inisiatif pusat belia wilayah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilihat mampu menangani masalah belia bandar yang berdepan isu miskin bandar, masalah sosial, pengangguran serta pendidikan.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berkata tahap kesihatan mental belia bandar juga memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan.

Katanya, kehidupan moden dikelilingi bangunan tinggi pencakar langit menjadi kawasan menarik untuk didiami, lebih-lebih lagi dilengkapi kawasan perumahan dan perkhidmatan yang berkualiti.

“Namun, ia tersirat kesan sampingan gaya hidup tidak seimbang dan tekanan yang boleh membawa kesan buruk pada tubuh dan kesihatan dalam jangka panjang. Oleh demikian, idea untuk menubuhkan pusat belia wilayah ini sangat signifikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam RMK-12, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia.

Jufitri berkata, usaha menaik taraf Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) dan Kompleks Belia dan Sukan serta mewujudkan pusat belia wilayah juga diharap dapat meningkatkan keberkesanan dan peranan institusi itu.

Katanya, MBM sentiasa membuka tangan untuk menawarkan bantuan dari sudut kepakaran baik dari sudut pengisian kepimpinan, pembangunan kerjaya, kemahiran insaniah dan juga kerja belia profesional.

“MBM juga menawarkan kepakaran tokoh-tokoh belia dan persatuan belia yang memenangi anugerah setiap tahun bagi membantu akademi ini. Selain MBM, turut boleh dilibat urus bersama adalah Pusat Belia Antarabangsa, Majlis Belia Wilayah Persekutuan dan NGO lain,” katanya.

Beliau berkata, RMK-12 yang menyentuh isu masa hadapan seperti perubahan iklim dilihat baik kerana kenaikan suhu planet bumi melebihi 1.5 darjah celsius akan memburukkan risiko bencana alam seperti kemarau, banjir, gelombang haba dan banyak lagi.

“Dalam Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG2030), ‘Tindakan Iklim’ adalah matlamat pembangunan lestari ke-13 yang menyarankan tindakan segera bagi memerangi perubahan iklim dan kesan buruknya.

“Di Malaysia, walaupun pengeluaran gas rumah hijau tidak sampai satu peratus, peranan kita dalam menangani pemanasan global tetap penting dan kita berterima kasih dengan komitmen kerajaan mengurangkan pelepasan karbon kepada 40 peratus pada tahun 2020 dan tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baharu,” katanya.

Dalam isu digitalisasi masyarakat, Jufitri berkata, tahun 2020 membuktikan bahawa digitalisasi akan menjadi kunci bagi menangani masalah sosial utama, selain mempermudah cara baharu bekerja dan hidup pada tahun 2021.

“Masyarakat terutama golongan belia harus bersedia dalam mendepani kemajuan yang akan terus berkembang dalam usaha kita mewujudkan sebuah masyarakat seimbang dari segi pendekatan teknologi dan juga rohani atau dipanggil Society 5.0,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »