MAJLIS BELIA MALAYSIA

PTPTN perlu terus beri pinjaman

maliki_songkok

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan pemberian pinjaman kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan golongan itu membayar yuran dan kos sara hidup sepanjang pengajian.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, cadangan PTPTN untuk menghentikan pemberian pinjaman tidak kena pada masanya dan akan menyusahkan pelajar.

“Jika dihentikan, ia akan membebankan penuntut IPT kerana mereka terpaksa menanggung kos lain terutamanya jika pelajar itu mengambil jurusan yang memerlukan penggunaan alatan tambahan dan yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

“Ini tentunya membebankan terutama bagi pelajar yang datang daripada keluarga sederhana dan miskin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan PTPTN yang mahu menghentikan pemberian pinjaman ‘perbelanjaan’ kepada penuntut IPT sebagai langkah mengurangkan beban akibat jumlah peminjam yang bertambah setiap tahun.

Bagaimanapun, pinjaman perbiayaan yuran pengajian tetap akan diberikan seperti biasa.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dalam reaksinya menegaskan pinjaman itu akan terus diberikan kerana cadangan itu boleh menimbulkan masalah terutamanya kepada pelajar kurang kemampuan.

Mengulas lanjut, Mohamed Maliki berkata, MBM memahami bebanan ditanggung oleh PTPTN, namun pada masa sama, tanggungjawab untuk membantu pelajar perlu diteruskan kerana ia merupakan objektif penubuhan badan itu.

“MBM menyeru agar graduan yang telah tamat belajar dan bekerja supaya segera melunaskan pinjaman mereka seperti yang telah dijanjikan pada awalnya.

“Ini penting supaya PTPTN terus mempunyai dana yang mencukupi untuk memberi pinjaman kepada kumpulan pelajar baharu yang mana jumlahnya bertambah setiap tahun,” katanya.

Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, pinjaman yang diberikan oleh PTPTN kepada pelajar merupakan satu tanggungjawab sosial serta ia memainkan peranan besar dalam proses pembentukan negara.

“Ia berperanan untuk membantu pelajar. Jadi, tidak wajar jika alasan PTPTN menanggung bebanan besar sebagai punca hendak menghentikan pinjaman.

“Pada masa sama, saya mencadangkan agar badan itu menggunakan pendekatan baru seperti memperketatkan syarat pembayaran pinjaman,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »