KUALA LUMPUR:
Cadangan sekatan pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan kepada individu yang
culas membayar pinjaman di dalam Konsultasi Nasional Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disifatkan ekstrem dan perlu ditimbang
semula.
Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd
Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, PTPTN juga perlu memberi maksud kemampuan
membayar balik pinjaman hanya melalui perolehan gaji yang tidak mencukupi.
“Sekatan untuk perniagaan, lesen kereta dan
cukai tanah itu satu tindakan ekstrem, menyusahkan belia dan sebagainya.
“Ia asas dan kadang-kadang perlu untuk
meneruskan hidup, lesen perniagaan mereka hendak berniaga dan ia membantu
membayar PTPTN.
“Kalau sekat mereka untuk memperbaharui lesen perniagaan itu menyusahkan, itu tidak membantu. Namun kita sokong mereka yang benar-benar gagal membayar tapi berkemampuan,” katanya semasa dihubungi di sini, pada Jumaat.
Di bawah idea enam Konsultasi Nasional PTPTN, penguatkuasaan baharu yang dipertimbangkan untuk diperkenalkan adalah sekatan untuk pembaharuan passport, pembaharuan lesen memandu, pembaharuan dan pendaftaran lesen perniagaan serta pembaharuan cukai jalan.
Selain itu, senarai peminjam culas akan dipamerkan kepada umum dan dikenakan sekatan untuk kelulusan pinjaman PTPTN kepada ahli keluarga terdekat.
Dalam pada itu, katanya, tindakan PTPTN menyenaraihitamkan semula peminjam yang ingkar membayar semula PTPTN satu tindakan yang membebankan.
Namun, tegasnya, ia perlu untuk peminjam yang benar-benar gagal melunaskan hutang walaupun berkemampuan untuk membayar.
“Tindakan menyenarai hitam peminjam yang gagal hendaklah disusuli dengan pendekatan komprehensif PTPTN untuk mendefinisikan siapa yang dimaksudkan sebagai peminjam yang gagal dan ingkar.
“Ini termasuk memastikan pendapatan isi rumah dan perbelanjaan yang perlu dilangsaikan oleh peminjam itu sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu kata Mohd Izzat, ujrah PTPTN harus dihapuskan untuk meringankan beban peminjam sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan pendidikan percuma termasuk pendidikan tinggi.
Artikel penuh:
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/ptptn-cadangan-sekatan-terhadap-peminjam-culas-terlalu-ekstrem-mbm-207941