MAJLIS BELIA MALAYSIA

Protes di Parit Raja: MBM Tawar Jadi Perantara

Majlis Belia Malaysia (MBM) memantau dan mengikuti rapat kes protes dan provokasi sekumpulan anak muda di Parit Raja baru-baru ini melibatkan pembakaran bunga api dan mercun. MBM mengambil masa untuk mendapatkan maklumat dan fakta sebenar daripada pemimpin belia setempat.

Daripada maklumat yang diperolehi daripada akar umbi, sekumpulan anak muda ini memprotes berikutan pengisytiharan PKP di saat akhir yang menyebabkan mereka tidak dapat menyambut Eidulfitri seperti adat kebiasaan. MBM difahamkan seramai 10 anak muda telah ditangkap atas sebab pelanggaran SOP dan kesalahan lain. MBM menyerahkan kepada kebijaksanaan pihak PDRM untuk membuat siasatan terperinci.

Sebarang tindakan undang-undang harus dilihat sebagai usaha deterrent, mendidik anak muda dan bukan sekadar untuk menghukum.

Sebagai premis utama, MBM sependapat dan senada dengan kenyataan rasmi Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) bertarikh 16 Mei 2021 bahawa suara rakyat terutamanya anak muda yang sinonim dengan semangat membara tidak wajar dinafikan oleh Kerajaan. Kerajaan harus ada nyalarasa (passion) yang tinggi untuk mendengar suara mereka termasuk yang bersifat protes yang kelihatan tidak menyebelahi Kerajaan.

Isu ini juga telah diambil perhatian serius oleh Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, YB Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Namun begitu, perlu ditekankan bahawa anak muda perlu diberikan panduan dan bimbingan berterusan agar menyampaikan suara secara beradab dan mengikut lunas undang-undang selaras dengan konsep Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Untuk hal ini, pemimpin politik terlebih dahulu perlu menunjukkan contoh atau role model yang baik kepada anak muda.

Untuk itu, sebagai mengambil jalan tengah atau apa yang disifatkan sebagai 3rd alternative, MBM menawarkan medium sebagai perantara dan pemudahcara antara anak muda dengan pihak Kerajaan agar suara mereka mempunyai saluran yang sah untuk diangkat terus ke atas dengan tindakan susulan tuntas dan pantas oleh Kerajaan.

Dalam konteks negeri Johor, anak muda boleh berhubung terus dengan pihak Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) melalui pelbagai medium media sosial atau dalam konteks Batu Pahat, boleh terus berhubung dengan Majlis Belia Batu Pahat di talian hotline mereka 011-7282 4150 untuk menyalurkan idea, cadangan, pandangan mahupun protes.

MBM percaya kepada suara anak muda yang tulen dan tidak dibayangi oleh mana-mana pihak.

MBM menyeru kepada pihak Kerajaan dan pimpinan belia di semua peringkat terutamanya pimpinan Majlis Belia Negeri (MBN) dan Majlis Belia Daerah (MBD) agar terus peka dan mengambil berat serta empati dengan suara anak muda sambil mereka perlu disayangi dan dibimbing untuk menyalurkan suara, keluhan, rintihan dan protes ke saluran yang sah dan mengikut lunas-lunas perundangan.

Segala tindakan tidak beradab dan melanggar undang-undang tidak boleh dikompromi dalam melahirkan masyarakat negara maju yang berbudaya tamadun tinggi namun proses mendidik anak bangsa memerlukan kesabaran dan usaha berterusan.

MBM yakin pemuafakatan antara Kerajaan dan anak muda adalah teras kepada kejayaan masa depan Negara.

JUFITRI BIN JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
(MBM)

Tarikh: 17 Mei 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »