PUTRAJAYA 19 Feb. – Kerajaan terpaksa menangguhkan proses penamaan calon dan pengundian bagi 119 kerusi Parlimen Belia yang dijadual diadakan selama 10 hari bermula hari ini berikutan masalah teknikal di laman webnya.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, masalah tersebut yang dikesan pada laman web, www.parlimenbelia.gov.my sejak minggu lalu telah menjejaskan proses simulasi yang sepatutnya diadakan pada minggu ini.
Bagaimanapun katanya, program tersebut tetap akan dilaksanakan seperti dirancang berdasarkan tarikh baharu yang bakal diumumkan kelak.
“Kita terpaksa menunda pelaksanaan Parlimen Belia ini disebabkan masalah teknikal di mana terdapat beberapa kelemahan yang agak serius hingga boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya yang akan dijalankan itu,” katanya, ketika berucap dalam majlis Penyerahan Cek Bantuan Pentadbiran kepada Pertubuhan Belia Kebangsaan, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah di sini.
Parlimen Belia merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei 2011 dengan matlamat melahirkan barisan pelapis kepemimpinan muda yang berkaliber dan berwibawa sejajar keperluan negara ketika ini dan akan datang.
Sebanyak 200,000 belia berusia antara 18 dan 40 tahun telah mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara.
Menurut Khairy, pihaknya berjaya mengesan masalah tersebut lebih awal dan mengarahkan proses penambahbaikan keselamatan dilakukan terhadap laman web tersebut sebelum proses sebenar Parlimen Belia dilaksanakan.
Katanya, tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan pertikaian dan menjejaskan kredibiliti Parlimen Belia.
Pada majlis tersebut, peruntukan sebanyak RM10.1 juta telah diagih-agihkan kepada 142 pertubuhan belia terdiri daripada 18 Pertubuhan Belia Kebangsaan, 15 Majlis Belia Negeri, 103 Majlis Belia Daerah dan enam badan beruniform bagi membiayai kos pentadbiran masing-masing.