MAJLIS BELIA MALAYSIA

Projek Rintis Pertanian BUDS Negeri Pahang

27 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari kesepuluh projek rintis pertanian BUDS negeri Pahang. Hari ini saudari Nurul-Huda Mohamed Afandi meneruskan sesi penyampai ilmu dengan tajuk Pengurusan Kewangan dan Pemasaran. Nampaknya sesi ini menarik minat para peserta dengan bertanyakan pelbagai soalan dan berlangsung melebihi masa yang sepatutnya.

Sesi petang pula dimulai dengan majlis penyampaian Kit Agro dan Sijil Akreditasi kepada para peserta. Turut diadakan majlis penutup kursus di mana para peserta dan jurulatih saling meraikan dan majlis penghargaan diuruskan oleh pihak penganjur dan MBD Rompin selaku ‘tuan rumah’.

Hari ini merupakan hari terakhir para peserta berkursus di dalam dewan. Bermula esok hingga hari ke 15, para jurulatih, mentor dan urusetia akan melawat tanah peserta.

25 Oktober 2021 | Dewan Pusat Pendidikan Islam, Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Rompin

Majlis Perasmian Projek Rintis Pertanian BUDS / TUNAS Negeri Pahang Majlis bermula dengan ucapan aluan oleh saudara Kamilhakimi Abdul Hak, Pengerusi Majlis Belia Daerah Rompin.

Majlis diteruskan dengan ucapan saudara Jufitri Bin Joha, presiden Majlis Belia Malaysia. Sebelum ucapan perasmian, para jemputan ditayangkan video sepanjang 9 hari program ini berlangsung. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato Seri Haji Mohd Johari Bin Hj Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan- Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang.

Majlis turut dihadiri oleh saudari Nurul-Huda Mohamed Afandi, Naib Presiden (W) MBM, saudara Ahmad Shah Bin Mohamad Salleh, exco MBM merangkap penyelaras program, wakil pengarah JBS Pahang, pegawai PBSD Rompin, pegawai pejabat pertanian daerah, wakil presiden MBN Pahang, exco MBD Rompin dan belia tempatan.

25 oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari kesembilan projek rintis pertanian BUDS negeri Pahang. Hari ini para peserta kembali ke dewan bagi meneruskan penggalian ilmu dan pengalaman berkaitan Pengurusan Kewangan dan Pemasaran.

 Slot pertama dikendalikan oleh FAMA dengan tajuk Pemasaran Roselle. Kuala Rompin merupakan antara pengeluar terbesar roselle di Malaysia. Pasaran roselle bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke luar negara seperti Australia. Malah harga yang ditawarkan juga amat berbaloi kepada usahawan tani.

Slot kedua pula dikendalikan oleh Saudari Nurul-Huda Mohamed Afandi, penceramah tauliah HRDCorp yang juga merupakan Naib Presiden MBM dengan tajuk Pengurusan Kewangan dan Pemasaran.

Para peserta didedahkan dengan pengurusan kewangan yang efisien dan sistematik serta kaedah pemasaran terkini menggunakan platform digital. Penggunaan media sosial bagi menjual produk dan menjana pendapatan diterangkan dengan jelas dan terperinci oleh penceramah. Nampaknya para peserta amat teruja dan memberi fokus kepada pengetahuan baru dan terkini.

24 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari kelapan projek rintis pertanian BUDS negeri Pahang. Hari ini para peserta akan melawat tanah 3 peserta di mana para jurulatih akan menganalisa dan memberi pandangan kesesuaian tanah agar dapat mengoptimumkan penggunaan tanah. Para peserta dibawa ke lokasi tanah peserta pertama di Kg. Perpat, Rompin.

Para jurulatih memberikan penerangan dan nasihat antaranya sesi perbincangan tentang phosphorus organik di atas tanah seluas 1 ekar. Kemudian tuan tanah telah memacak pancang penandaan tanah projek sebagai simbolik bermulanya kerjaya seorang usahawan agro.

Sebelum melawat tanah peserta seterusnya, semua peserta bergerak ke tapak tanaman sayur usahawan berjaya di Rompin. Sesi Perkongsian bersama tuan tanah dan pelbagai tanaman sayur yang ditunjukkan seperti sayur bayam merah, Kobis,dan sawi. Para peserta seterusnya dibawa kr 2 lagi lokasi tanah peserta di Kg. Sepakat, Kuala Rompin. Antara aktiviti yang dilakukan adalah menilai ph tanah dan mencadangkan jenis tanaman yang sesuai.

23 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari ketujuh projek rintis pertanian BUDS di negeri Pahang. Sesi pagi dimulakan dengan slot Inovasi oleh Dr. Syed Azhan. Antara persembahan video yang disampaikan adalah cara tanam pokok kelapa bersama dengan baja kompos, video tentang pokok kelapa ditanam berselang seli dengan pokok roselle dan video cara tanam pokok kelapa yang berbuah lebat, serta penguraian baja kompos. Juga ditunjukkan 5 produk inovasi iautu Kencing Harimau, Sabun Roselle, Duriocool, EM 2B dan Madid fresh. Kaedah pengiraan tanah menggunakan maps serta membuat plan rumah dengan menggunakan sketchyup pro ditunjukkan kepada peserta.

Sesi petang diisi oleh Tuan Hj Abdul Rahman Najib dengan slot Agroship. Antara intipati slot adalah pejelasan kepada peserta tentang penulisan mengenai apa yang berlaku di tanah. Segala arahan dan nasihat di tanah masing masing perlu ditulis atau direkodkan di dalam satu buku. Juga penjelasan tentang pinjaman dengan bank. peserta diberi masa untuk persediaan pembentangan Agroship bagi setiap kumpulan. Peserta membuat pembentangan tentang Agroship dan plan bandar kumpulan masing masing. Jelas ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan sebaiknya melalui kreativiti peserta.

22 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari keenam projek rintis pertanian BUDS negeri Pahang. Slot pagi dimulakan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Najib dengan tajuk ‘Anti Hama dan Serangga’. Sesi interaktif video tentang cara kawalan serangga antara intipati pembentangan yang disampaikan. Menariknya, ia menerangkan tentang cara kawalan tanpa racun kimia dan organik tetapi menggunakan pokok cili. Juga video motivasi tentang Belia yang mengusahakan pokok lada.

Sesi petang bermula dengan slot tanaman kontan oleh Prof. Zainal Abidin. Rata-rata para peserta menunjukkan minat mendalam terhadap beberapa jenis tanaman kontan yang boleh memberikan hasil segera. Selepas itu, Prof. Zainal Abidin menunjukkan cara proses percambahan biji pokok roselle diikuti peserta praktikalkan sendiri proses percambahan biji pokok roselle.

21/10/2021 | Rompin, Pahang

Hari kelima program projek rintis pertanian BUDS di negeri Pahang. Sesi bermula peserta dan urusetia membuat perbincangan tanah untuk perjalanan ke tapak tanah peserta. Slot pagi ini iaitu

‘Effective Micro Organism’ disampaikan oleh Dr. Syed Azhan dan disambung seterusnya dengan slot EM. Dr Syed Azhan juga berkongsi tentang peluang perniagaan dalam pertanian. Selepas itu, para peserta dibawa ke luar dewan bagi menjalani praktikal membuat EM.

Sesi petang pula dimulai dengan slot Kompos yang disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Najib. Selepas itu, para peserta sekali lagi dibawa ke tanah yang disediakan oleh MBD Rompin bagi tujuan pembuatan baja kompos. Para peserta telah menyediakan 2 rumah baja dan memacak placard di tanah MBD Rompin. Prof. Zainal Abidin juga menunjukkan cara tanam pokok supaya lurus dan tidak bengkok. Terpancar semangat dan ketekunan peserta dalam menimba ilmu baru dan terkini.

20 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari keempat projek rintis pertanian BUDS negeri Pahang. Sesi pada hari ini para peserta akan menjalani praktikal di tanah yang disediakan oleh Majlis Belia Daerah Rompin. Ini merupakan saat yang dinantikan peserta bagi menguji ilmu yang diterima selama 3 hari sebelumnya. Sesi hari ini juga akan disertai oleh wakil pejabat pertanian daerah yang memantau dan membantu menyediakan mesin bagi penyediaan membuat batas. Kaedah membuat batas menggunakan cangkul juga diajar kepada para peserta. Prof. Zainal Abidin mengendalikan sesi ini bersama Tuan Haji Abdul Rahman Najib dan Dr Syed Azhan dengan dibantu oleh para mentor dan urusetia.

Hujan lebat pada pagi hari menyebabkan para peserta pulang awal ke dewan dan penyusunan jadual membuat batas disambung pada sebelah petang. Ruang masa yang ada digunakan sepenuhnya dengan sesi perbincangan berkaitan tajuk Musuh Tanaman Mamalia, Keselamatan Pagar Tanaman dan Kelebihan Kencing Harimau oleh jurulatih. Kemudian, para peserta kembali ke tanah yang disediakan bagi proses pembersihan tanah dan membuat batas.

19 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari ketiga projek rintis pertanian BUDS negeri Pahang. Sesi dimulakan oleh Prof. Zainal Abidin dengan tajuk Tanaman Roselle. Sesi pagi selama 3 jam tersebut para peserta didedahkan dengan sejarah penanaman roselle di Malaysia, diikuti kaedah penanamannya. Bukan setakat teori, biji benih roselle dibawa ke dalam kelas sebagai contoh biji benih yang bercambah.

Sesi petang pula para peserta membuat aktiviti kumpulan iaitu ‘Grafitti Board’ bersama Tuan Hj Abdul Rahman Najib. Jelas terpancar semangat berkumpulan dan kesungguhan peserta dalam berkongsi idea dan pandangan dalam memastikan setiap kumpulan dapat menghasilkan hasil kerja terbaik.

Sesi terakhir bersama Dr. Syed Azhan pula para peserta diberi buah mangga yang busuk untuk menghasilkan baja kompos. Nampak keterujaan dan fokus para peserta mempelajari ilmu baharu yang jimat dan menguntungkan.

18 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Hari kedua program projek rintis pertanian BUDS Negeri Pahang. Sesi pagi dimulakan dengan slot 1 bertajuk Asas Pertanian/Agro yang disampaikan oleh Prof. Zainal Abidin, ketua jurulatih BUDS. Para peserta didedahkan dengan pengenalan agro dan asas bagi memulakan kerja-kerja pertanian. Slot 2 diteruskan oleh Dr. Syed Azhan, jurulatih BUDS dengan tajuk Pengurusan Tanah. Dalam sesi ini, para peserta didedahkan dengan kaedah menguruskan tanah dan hasil tanaman yang terbaik dan terkini, antara menggunakan teknologi terkini berasaskan ‘internet of things’.

Slot 3 bertajuk Tanaman Kontan/Saraan bermula pada sebelah petang dikendalikan oleh Tuan Haji Abd Rahman Najib, jurulatih BUDS. Para peserta diperkenalkan dengan beberapa jenis tanaman kontan seperti cili, labu, dan mentimun serta keperluan pasaran pada hari ini. Sebelum berakhirnya sesi pada hari kedua, para peserta telah melaksanakan aktiviti berkumpulan bagi membentuk semangat berpasukan dikalangan peserta dan urusetia.

17 Oktober 2021 | Rompin, Pahang

Projek Rintis Pertanian BUDS (TUNAS) Negeri Pahang 2021 anjuran bersama Majlis Belia Malaysia dan HRD Corp dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Pahang dan Majlis Belia Daerah Rompin bertempat di Dewan PPI Masjid Tengku Mahkota Abdullah Rompin, Pahang.

Hari pertama bermula dengan pendaftaran peserta seramai 25 orang dan disusuli dengan pengenalan para peserta atau sesi ‘ice breaking’ dikendalikan oleh Saudara Mohd Firdaus, exco MBD Rompin.

Seterusnya pengenalan kepada MBM dan HRDCorp dan Organisasi Peserta sepanjang program ini berlangsung selama 15 hari, disampaikan oleh Saudara Ahmad Shah, exco Majlis Belia Malaysia.

Pada sesi petang pula, diadakan sesi pembentangan berkaitan oleh para peserta. Dalam konteks ini, para peserta diminta untuk menyatakan mengenai tanah masing – masing termasuklah masalah yang dihadapi yang mengekang penggunaan tanah itu. Solusi nya telah dikenalpasti dan dicadangkan oleh para panel. Perjalanan program ini pada hari pertama telah berjalan lancar.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »