HULU TERENGGANU 23 Nov – Bencana adalah sesuatu tragedi yang terjadi tanpa mengira waktu dan tempat. Justeru, dalam melaksanakan sesuatu misi bantuan, seseorang sukarelawan perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam berhadapan situasi sebenar ketika berada di lapangan.
Atas sebab itu, seramai 40 orang Sukarelawan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) telah menyertai Program Sekolah Sukarelawan Komuniti Belia Malaysia (MYVOC) sebagai persediaan untuk menghadapi bencana dan pasca bencana.
Program dua hari yang berlangsung di Warisan Pahlawan Resort ini kendalikan oleh MBNT dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan KBSMalaysia dengan penyertaan belia-belia dari majlis belia daerah seluruh negeri ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Hishamuddin Abdul Karim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu yang disekalikan dengan Santai Mahabbah Kepimpinan Belia Terengganu.
Hadir sama Presiden MBNT, Sdr. Anas Hazizul dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Encik Asmadi Mohamad.
Usaha ini merupakan inisiatif di bawah Rakan Muda segmen Rakan Prihatin bertujuan memberi pendedahan kepada sukarelawan belia berkaitan mekanisme pengurusan sesuatu bencana khususnya menjelang Monsun Timur Laut yang dijangka melanda negara.
Program ini juga memberi pendedahan kepada para peserta tentang tatacara pengurusan bencana, asas pertolongan cemas, asas pengendalian radio amatur, asas bantuan OKU, asas bantuan psikologi selain peraturan yang perlu dipatuhi.
Majlis penutup dan penyampaian sijil pula dilakukan oleh Sdr. Mukhri Mamat, Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu.
Terengganu merupakan siri ketiga penganjuran program ini dan akan digerakkan di seluruh negara melalui badan-badan gabungan MBM bertujuan memperkasa penggerak sukarelawan.