Tahun 2012 telah menandakan 20 tahun hubungan Asean dengan India yang telah melakar banyak kerjasama dan jalinan dua hala antara India dan Malaysia khususnya serta jalinan pelbagai hala antara India dan Asean secara keseluruhannya.
Pada 11 hingga 21 Disember baru-baru ini, atas jemputan Kerajaan India dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, seramai 22 orang belia Malaysia telah terpilih untuk mewakili Malaysia ke India untuk menyertai Program Pertukaran Pelajar Asean-India 2012 yang bertemakan ‘Membina Perkongsian Belia Melalui Keusahawanan’. Seramai 210 belia dari semua negara Asean telah menjayakannya. Program ini telah dijalankan di sekitar bandar-bandar di India seperti Mumbai, Jaipur, Calcutta, Hyderabad dan New Delhi. Delegasi Malaysia telah ditempatkan di dalam kumpulan 2 bersama-sama dengan delegasi Lao PDR dan Indonesia.
11 hingga 13 Disember 2012 – semua peserta dari Malaysia, Lao PDR dan Indonesia telah tiba di Mumbai International Airport dan ditempatkan di Courtyard by Marriott Mumbai. Taklimat bagi sepanjang program telah disampaikan oleh wakil Confederation of India Industry (CII) yang merangkap penyelaras program ini. Program dipenuhi dengan lawatan ilmiah ke Bombay Stock Exchange, Export-Import Bank of India, dan Zee Entertainment Enterprise. Program diteruskan lagi dengan lawatan ke Elder Pharmaceuticals Ltd, Aptech Computer Education, dan Whistling Woods International. Hasil lawatan telah memberi pendedahan kepada peserta mengenai suasana ekonomi dan pembangunan India sejak tahun 1990 yang dipacu oleh sektor IT dan perisian.
14 hingga 16 Disember 2012 – Hari pertama di Jaipur, semua peserta dibawa ke Global Institute of Technology untuk sesi interaksi bersama para pelajar di Institut tersebut. Hari kedua, peserta berpeluang untuk bersama-sama melihat perasmian Pameran Antarabangsa Seramik dan Kaca yang dianjurkan oleh CII dan sesi petang diteruskan dengan lawatan industri ke Genus Power Infrastructure Pvt Ltd. Hari ketiga merupakan hari lawatan ke tempat-tempat bersejarah di Jaipur yang turut dikenali sebagai pink city kerana tembok berwarna merah jambu dan kota lama milik raja-raja di zaman silam. Pengalaman di Jaipur telah membuka mata peserta terhadap sejarah lama dan warisan yang sehingga kini dipelihara dengan baik.
17 hingga 21 Disember 2012 – Sepanjang perjalanan ke New Delhi melalui jalan darat selama 7 jam memberi satu pemandangan berbeza berbanding di Mumbai kerana peserta dihidangkan dengan aktiviti pertanian penduduk setempat. Bergerak hampir ke arah New delhi, para peserta dapat melihat perubahan nyaman kepada suasana hiruk-pikuk kota raya dan kesemua 210 wakil negara Asean yang menyertai program ini telah berkumpul di sana. Seterusnya, pengalaman melawat Taj Mahal dan mengetahui akan sejarahnya adalah sangat dinanti-nantikan. Di New Delhi, lawatan diteruskan ke Indian Institute of Technology dan menghadiri sesi interaksi bersama wakil India Development Foundation dan berpeluang melawat kilang pengeluar kereta jenama Maruti Suzuki.
Selain itu, pada 21 Disember semua peserta program telah dijemput untuk menghadiri acara penutup Asean-India Car Rally yang juga telah membariskan peserta-peserta dari semua negara Asean yang menyertai jelajah ke negara-negara Asean dan juga India yang mengambil masa selama 22 hari. Acara penutup ini telah menandakan berakhirnya Sidang Kemuncak Memperingati Hubungan Asean-India 2012 di New Delhi, India yang menghimpunkan semua ketua-ketua negara Asean dan India