Siri kedua Program Penghakupayaan Pelajar bersama tokoh belia kebangsaan telah berjalan dengan jayanya di Sekolah Agama Menengah Sungai Hj Dorani, Sabak Bernam Selangor pada 12 Mac 2016. Program ini adalah lanjutan daripada program pertama yang diadakan di SMA Al-Khairiah Kuala Nerang, seminggu sebelumnya.
Jawatankuasa Pendidikan MBM mengambil inisiatif menganjurkan program ini dengan kerjasama Sekolah Pembangunan Kerja Belia & Komuniti (SPKB), Yayasan Taqwa sebagai penaja serta pihak sekolah selaku tuan rumah.
Program kali ini membariskan Tuan Jufitri Joha Naib Presiden MBM dan Sdr Suhail Kamaruddin sebagai ikon belia yang berkongsi kejayaan mereka bersama para peserta yang terlibat. Manakala slot “Melihat dunia dengan mata helang” disampaikan oleh Sdr Muhamad Hanapi Jamaludin daripada SPKB. Matlamatnya adalah supaya dapat melahirkan generasi pelajar yang berjiwa besar serta mampu memberi impak yang positif dengan lebih meluas.
Majlis penutup dirasmikan oleh Tn Hj Zabidi Nasan, Pengurus Besar Yayasan Taqwa. Dalam ucapan beliau, program ini adalah sebahagian daripada majlis ilmu yang dipenuhi dengan kebaikan dan saranan kepada golongan pelajar supaya sentiasa mencintai majlis-majlis ilmu. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah En Zulhisham Razali, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam dan Puan Norafizah Ahmad selaku Pengetua Sekolah.
Semoga program ini dapat memacu kesedaran kepada generasi pelajar dan belia supaya memiliki ilmu dan kemahiran yang cukup untuk membudayakan masyarakat.