KUALA LUMPUR 21 Nov – Program Literasi Media Kreatif anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) melibatkan Zon Selatan, Timur dan Utara melabuhkan tirainya hari ini dengan pelaksanaan di peringkat Zon Tengah.
Majlis penutup, penyampaian sijil dan hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Encik Mohd Khairi Ali.
Seramai 47 orang belia daripada pimpinan majlis belia negeri dan daerah, pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah melibatkan Negeri Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menyertai program yang berlangsung di Akademi Kenegaraan.
Antara objektifnya bertujuan menambah ilmu peserta dalam memanfaatkan teknologi aplikasi media bagi mengadaptasi platform ini untuk belia dan masyarakat juga di dalam kerjaya.
Antara pengisian program adalah sesi pembelajaran meliputi teknik penulisan, ‘creative content’, seni fotografi dan suntingan video serta kerja lapangan melalui task penghasilan video berdasarkan tema diberi. Bengkel dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman Haji Ainol Amriz @Hj Bro, Penerbit Utusan TV.
Sdr. Mohammad Rizan Hassan Setiausaha Agung FKPB, Tokoh Belia Negara dan ASEAN 2011 pula mengisi slot ‘Interaksi Ikon’ yang turut disiarkan menerusi platform Facebook Live MBM. Beliau yang juga merupakan penggerak belia berkemahiran berkongsi tentang penglibatannya dalam belia dan cabaran menguruskan belia tercicir di akar umbi dari pelbagai aspek. Sesi ini dihoskan oleh Sdr. Adib Anas, Ketua Penerangan GPMS Kebangsaan.
Ceramah santai ‘belia dan pengekangan berita palsu’ pula bersama Ketua Jabatan Komuniti, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Puan Hashimah Hashim serta sesi Interaksi bersama Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun.
Semoga ilmu yang diperolehi memberi manfaat kepada peserta mahupun jabatan dan organisasi. Program ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan pimpinan belia dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah.
Turut sama Setiausaha Agung MBM Sdr. Hasnul Haniff Harun, Pemangku Presiden Majlis Belia Selangor Sdr. Syafiq Ridzwan, Penolong Pengarah Pejabat Ketua Pengarah JBSN Cik Syafiqah Hani, Ketua Penerangan MBM Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah merangkap Ketua Penyelaras Program dan Pegawai JBSN, Puan Shazliza.