Seberang Perai, 10 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM ) melalui Jawatankuasa Khas Kebudayaan, Sukan dan Gaya Hidup Sihat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara melalui Persatuan Sukan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) telah menganjurkan program 1 Belia 1 Pengadil (1B1P) peringkat negeri Pulau Pinang bertempat di Dewan Kuliah Jabatan Mekanikal Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang. Seramai 57 orang peserta telah menyertai program ini yang diadakan selama 3 hari pada 7 hingga 9 Julai 2017 yang mendedahkan para peserta dengan asas kepengadilan dan asas pemarkahan (teori dan praktikal) serta dikendalikan oleh tenaga-tenaga pengajar profesional dalam bidang sukan masing-masing.
Pelbagai aspek pengisian disampaikan seperti penerangan khusus tentang undang undang setiap sukan, latihan amali, praktikal dan ujian bertulis. Selain itu, mereka juga didedahkan berkaitan pengurusan sukan secara ‘hands on’ dalam kursus ini sekali gus ia mampu meningkatkan kemahiran komunikasi ketika berhubung dengan masyarakat luar.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Sdr. Lim Swee Bok, Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, merangkap Timbalan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia. Beliau menyatakan golongan belia kini perlu mengambil peluang setiap medium dan platform yang telah disediakan terutamanya melalui MBM yang sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada golongan belia dalam meningkatkan dan membangunkan diri golongan belia di negara ini.
Turut hadir sama dalam majlis ini, Sdr. Wan Mohd Husni Abdullah, Ahli Jawatankuasa MBM, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Kebudayaan, Sukan dan Gaya Hidup Sihat, Sdr. Hasanul Amir Abdul Halim, Ahli Jawatankuasa MBM dan Encik Sulaiman Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Pulau Pinang. Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian sijil dan sesi bergambar bagi setiap kategori sukan.