Kuala Lipis 21 Mei – Majlis Belia Malaysia (MBM ) melalui Jawatankuasa Khas Kebudayaan, Sukan dan Gaya Hidup Sihat dengan kerjasama Majlis Sukan Negara melalui Persatuan Sukan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) telah menganjurkan program 1 Belia 1 Pengadil (1B1P) bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis bagi Negeri Pahang bermula dari 19 hingga 21 Mei 2017
Program yang disertai seramai 50 orang peserta ini bertujuan memberi asas kepengadilan kepada peserta dari kalangan belia dalam sukan bola sepak, bola Jaring dan sepak takraw. Para peserta turut menjalankan simulasi pengadilan yang diadakan di beberapa sekolah yang terpilih iaitu di Sekolah Menengah Setia Wangsa, Kuala Lipis dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Kuala Lipis. Para peserta bagi segmen pengadilan bola sepak turut diminta untuk membuat ulasan kepengadilan melalui perlawanan akhir Piala FA yang menampilkan Pasukan Bola Sepak Negeri Pahang dan Negeri Kedah.
Majlis penutup telah disempurnakan Sdr. Ahmad Daniar Ismail, Timbalan Presiden MBN Pahang merangkap Penolong Bendahari MBM. Beliau menyatakan semoga melalui program ini akan membuka mata golongan belia dalam profesion kejurulatihan dan seterusnya mengajak para peserta untuk terus terlibat dalam program ini sehingga ke peringkat lebih tinggi lagi. Program ini telah diakhiri dengan majlis penyampaian sijil dan sesi bergambar bersama tetamu, pengajar dan para peserta.