Negara kita dibina dengan masyarakat majmuk yang belatarbelakangkan pegangan agama dan budaya mengikut kepercayaan masing-masing. Perkara 11 dalam perlembagaan negara kita jelas menyatakan klausa-klausa yang memberikan rakyat Malaysia untuk mengamalkan kebebasan beragama. Rukun pertama meletakkan Prinsip “Kepercayaan Kepada Tuhan”.
Isu Selasa lalu, Majlis Bandaraya Alor Setar merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, yang dikatakan berusia lebih 50 tahun. Isu ini dipanaskan pula dengan kenyataan media Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang menular dalam media sosial sehingga menimbulkan suasana tidak selesa dikalangan masyarakat India di negara ini. Bertambah pula kenyataan sinis yang mengaitkan masyarakat India dengan “Mabuk Todi” mengeruhkan lagi keadaan.
Walaubagaimanapun, rumah ibadat mesti dibina dengan mendapatkan kebenaran daripada kerajaan tempatan terlebih dahulu. Pembinaan Rumah ibadat di kawasan persendirian akan menimbulkan pelbagai masalah perundangan serta ia akan memberikan impak negatif terhadap citra “Agama” yang kian lama diikuti oleh masyarakat Hindu di negara ini. Nilai Keluhuran perlembagaan harus dihormati dan diperakui bagi memperkukuhkan keamanan dan kesejahteraan negara. Secara perundangan pula, jika rujuk kepada Perlembagaan Malaysia Perkara 149 jelas menyatakan apabila berlaku keadaan yang mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat, ketika tercetusnya kekejaman dan kezaliman terhadap manusia atau harta benda perkara itu akan dilihat sebagai serius. Prinsip Kedaulatan Undang-undang menekankan negara kita ada undang-undang yang kita perlu hormat dan ikuti sebagai rakyat Malaysia.
Untuk itu saya menyeru agar Kerajaan perlu menubuhkan satu Jawatankuasa Penubuhan Rumah Ibadat dengan melibatkan Kementerian Perpaduan Negara bagi mengenalpasti rumah ibadat yang berdaftar dan tidak berdaftar dalam negara. Satu pangakalan data yang menyeluruh yang mempunyai maklumat penuh tempat-tempat ibadat yang didaftarkan secara sah perlu dibina supaya masalah sebegini tidak berulang lagi.
Satu lagi jawatankuasa “Lembaga Warisan Hindu” yang dianggotai oleh ketua-ketua pengamal agama hindu serta “Malaysian Hindu Sangam” sebagai panel bagi menguruskan tempat-tempat beribadat Hindu yang berdaftar dalam negara ini. Dengan adanya pengurusan yang telus yang bersistematik masalah sensitif yang sebegini dapat dielakkan. Pengurusan secara holistik dapat mengawal serta memantau isu-isu yang ungkit melibatkan tempat ibadat yang tidak mengikut protokol atau undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan.
Setiap masalah yang berbangkit dapat diselesaikan dengan cara rundingan yang baik. Sebagai seorang pemimpin, Menteri Besar Kedah seharusnya mengamalkan sikap terbuka dalam menangani masalah sensitif sebegini. Penerapan nilai Rukun Negara perlu diterapkan didalam semua lapisan masyarakat di negara ini. Pendekatan yang bersikap keras, akan mengeruhkan agenda pemupukan kesepaduan sosial yang mendorong suasana yang lebih tegang sehingga memudaratkan hubungan etnik di negara ini. Jika pemimpin negara menerapkan nilai kesopanan dan kesusilaan dalam karakteristik harian mereka maka lebih banyak isu dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah.
Negara kita mempunyai undang-undang pada masa yang sama juga sikap toleransi yang kita amalkan sekian lama menjadi asas perpaduan yang kukuh selari dengan pembangunan negara.
Tanpa berhati-hati menguruskan dan menangani isu sebegini, kesilapan dan sikap gelojoh akan memudaratkan perpaduan serta keamanan negara. Sekali lagi ditegaskan bahawa, pengurusan Rumah Ibadat pula perlu mengikut tatacata serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kita mesti ingat 5 Prinsip Rukun Negara perlu menjadi pegangan hidup dalam membina negara maju selari dengan pembangunan dunia.
Sejak kebelakangan ini , kita boleh lihat sendiri betapa kurangnya penghayatan Rukun Negara dalam masyarakat kita yang saban tahun ada sahaja isu tidak menghormati Jata Negara, isu bendera dipasang secara terbalik, Jalur Gemilang dihitamkan dan isu lain yang menyentuh sensitiviti semangat kenegaraan.
Sekiranya benar rakyat kita memahami dan menghayati serta beramal dengan Rukun Negara, nescaya isu-isu begini tidak akan terjadi. jika wujud ketidakstabilan perpaduan, ia mungkin membawa kepada berulangnya Tragedi 13 Mei.
Suatu ketika dahulu contoh amalan prinsip kesetiaan kepada raja dan negara dijelmakan oleh barisan negarawan seperti Tun VT Sambanthan, Tun Tan Cheng Lock, Kolonel HS Lee, Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Maharaja Lela. Mereka mempunyai satu titik persamaan iaitu semangat cintakan tanah air. Mereka meletakkan negara sebagai keutamaan mereka, sebab itu negara kita dapat mencapai merdeka dan mendirikan negara yang maju ke hadapan.
Jika kita kaji, bagaimana mereka boleh mencapai titik persamaan tersebut, asasnya ialah dengan menerapkan nilai-nilai Rukun Negara dalam diri anak-anak muda dan mengamalkannya.
Bagi pendapat saya Rukun Negara hendaklah digunakan sebagai alat perpaduan kaum, rakyat jangan hanya tahu melafaz, sebaliknya perlu menghayati dan mempraktikkannya.
Melalui dunia media sosial sekarang, pelbagai isu, gambar dan video dimuat naik dan dikongsi dengan seluruh netizen di alam maya. Apa yang dikongsi itu tidak semestinya menggambarkan isu sebenar dan masyarakat Malaysia harus mengkaji serta meneliti sesuatu perkara yang ditularkan dalam sosial media adalah betul-betul benar atau sebaliknya.
Jika setiap prinsip Rukun Negara difahami dan dalam konteks ini, Kesopanan dan Kesusilaan, maka tidak akan timbul perkara yang tidak diingini. Pencapaian negara yang membanggakan hari ini adalah disebabkan oleh satu perkara, iaitu kesanggupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum untuk bersatu di bawah satu identiti dan nilai yang sama demi kemakmuran serta kesejahteraan sejagat.
Sivanesan Tamil Selvam
Felo Penyelidik, Majlis Belia Malaysia
17 Disember 2020