KUALA LUMPUR 17 Januari – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) yang merupakan badan permuafakatan pertubuhan Islam Nasional ditubuhkan sebagai rakan strategik Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk menjalankan program berkaitan pemerkasaan masyarakat. Wadah ini menaungi 70 pertubuhan Islam di Malaysia.
Bagi penggal 2019-2024, MAIM melalui kepemimpinan Tuan Hj Raimi Abdul Rahim telah mengambil inisiatif mengadakan Retreat MAIM bagi menyusun langkah strategik menjayakan agenda negara Rahmah.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Jufitri Joha telah dilantik sebagai Naib Presiden MAIM bagi penggal ini. Dalam retreat yang diadakan, beliau diwakili oleh Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin, Felo Penyelidik MBM.
Retreat telah membincangkan secara tuntas visi, misi, indeks petunjuk utama, indeks petunjuk prestasi MAIM bagi penggal ini.
Perbincangan susulan dan kunjungan hormat kepada pertubuhan berkenaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi menerangkan tentang MAIM dan mempelawa mereka bersama menguatkan struktur MAIM.


