Kuala Lumpur | 10 Januari – Sempurna sudah Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) kali ke-73 (MPAT73) yang dilakukan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri hari ini.
Kehadiran kali pertama YAB Perdana Menteri ke program rasmi MBM ini boleh diibaratkan ‘Bagai sirih pulang ke gagang’.
Beliau yang pernah memimpin MBM sebagai Presiden ke-6, berkongsi ‘keunikan’ MBM dalam mengumpulkan kumpulan tenaga idealistik pelbagai kaum dan agama. “Ini satu kemestian anak muda untuk mengerti, memahami dan menyantuni”, ujarnya.
“Sebagai jurubicara rakyat khususnya anak muda, MBM perlu mencetuskan idea dan membawa perubahan positif kepada negara”, tambah beliau.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur ini dihadiri seramai 390 orang perwakilan belia dari seluruh negara.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid, mantan pemimpin belia, aktivis belia dan rakan strategik MBM.
































