1 Mac 2012
Pengerusinya, Abdul Rizam Mohd Akhir berkata, sejak dilancarkan secara rasmi pada 29 Mei tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rakan 4Biz kini mempunyai 22 mentor daripada pelbagai bidang syarikat.
“Program ini adalah salah satu inisiatif kami membantu golongan belia memantapkan ekonomi dan mencipta peluang perniagaan menerusi perkongsian pengalaman dan pengetahuan mentor yang terlibat.
“Melalui bantuan dan sokongan daripada pihak mentor, belia akan lebih terbuka dalam menghadapi risiko. Program ini juga adalah peluang terbaik kepada golongan belia untuk memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Menurutnya, sebelum Rakan 4Biz dilancarkan, ia terlebih dahulu mengadakan majlis persefahaman (MoU) bersama 10 mentor perintis pada 18 Februari tahun lalu dan setelah setahun, tahun ini adalah proses pengembangan dan gerak kerja pelaksanaannya.
“Belia bebas memilih mentor yang diinginkan. Dengan modal serendah RM100 sebagai contoh, mereka layak menjadi ejen syarikat, sekali gus melayakkan untuk mendapat sehingga 400 peratus daripada hasil jualan.
“Kepada mentor pula, setiap mentor dibenarkan untuk menggunakan jenama dan logo Rakan 4Biz pada produk keluarannya. Menerusi majalah Buletin yang akan dikeluarkan pula, ia secara tidak langsung akan membantu dalam bahagian promosi dan pengiklanan,” katanya.
Berkonsepkan mentor mentee, program itu dilihat lebih selektif dalam memilih mentor di mana syarikat yang dipilih adalah dalam kalangan jenis perniagaan yang boleh membantu belia Malaysia dengan kadar minimum supaya produk dan perkhidmatan yang diketengahkan mendapat tempat di pasaran.
Menjadikan empat kumpulan utama iaitu profesional; eksekutif dan pegawai; pekerja dan lepasan siswazah; dan belia yang tidak bekerja sebagai sasaran utama, nyata program ini telah dirangka secara terperinci dalam melahirkan usahawan di negara ini.
Selari dengan misi Gerakan 4B Belia Malaysia dan penasihat bersama, Mua’amar Ghadafi Jamal berkata, Program Usahawan Mentor Mentee Belia Malaysia ini akan menyatukan mentor dan belia dalam melahirkan legasi untuk tempoh jangka masa panjang.
Abdul Rizam berkata, Rakan 4Biz turut berhasrat melahirkan lebih ramai jutawan kerana baginya program itu adalah sebuah pembangunan yang sihat dan sesuatu yang baik untuk dikomersialkan.
Sementara itu, program yang mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan ini juga mengalu-alukan syarikat yang mempunyai produk untuk menyertai program ini bagi sama-sama membantu mendidik golongan belia sehingga berjaya bergelar usahawan.
Sebarang pertanyaan layari www.gb4malaysia.org atau hubungi 03- 2282 9648/ 4649.