Oleh:
YBhg Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip
Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik
Sports Innovation Technology Centre (SITC)
Institut Human Centred Engineering (IHUMEN)
Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK)
Fakulti Kejuruteraan (FK) Universiti Teknologi Malaysia
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah masuk fasa ke-5, kali ini ia bersyarat iaitu bermula dari 12 Mei sehingga 9 Jun 2020 dan sehingga di sambung ke PKPD ke-6. Siapa sangka dalam tempoh dua minggu berlanjutan hingga ke-3 bulan sehingga ia di beri nama baru sebagai Normal Baharu yang perlu di adaptasi oleh masyarakat. Banyak yang telah dibincangkan dalam artikel lain di musim PKP ini, ada yang menyatakan ia sebenarnya telah lama berlaku dan diamalkan seperti penggunaan kelas online dan kebersihan diri. Cuma apabila berlaku PKP, ia direalisasikan secara mendadak oleh semua pihak demi meneruskan kelangsungan hidup.
Syukur Alhamdullilah di sebalik ujian yang berlaku, pelbagai manfaat yang telah di perolehi di Musim PKP. Sesungguhnya, Allah SWT tidak akan menguji hambaNya luar dari kemampuan mereka. Di sebalik ujian, terserlah pelbagai hikmah dan terdapat pelbagai kebaikan yang telah diperolehi di Malaysia. Sebagai contoh tentera dan polis bersatu menjalankan tugas demi mengelakkan wabak Covid-19 tersebar luas, warga pusat kesihatan dan hospital menjadi frontliner utama dalam mengurangkan risiko wabak, peranan ahli politik dan menteri Malaysia dalam memastikan negara sentiasa selamat dari ancaman Coronavirus, akhir sekali setiap ahli masyarakat menggunakan masa PKP sebaik mungkin bersama keluarga dalam rumah dan memastikan ahli keluarga mereka sentiasa selamat dari wabak pandemik dunia ini.
Di kala wabak ini berlaku, kita mendengar pelbagai berita di media yang menyatakan air sungai menjadi semakin bersih, jika dulu tiada ikan yang datang dan kini ada ikan, tiada lagi asap kilang dan kenderaan yang mengakibatkan penipisan ozon, industri revolusi 4.0 diadaptasi sepenuhnya melalui komunikasi alam maya, keadaan rumah yang semakin terjaga jika dahulu tiada kesempatan dan pelbagai manfaat lagi. Kini masyarakat telah sedar setiap masalah yang berlaku itu, jawapan hanya bukan melalui satu kaedah sahaja. Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan satu tambah satu bersamaan dua, dua darab satu bersamaan dua, tiga tolak satu bersamaan dua juga. Ia mengajar erti flexibiliti dan tidak rigid dalam satu perkara.
Penulis juga ingin mengucapkan kesyukuran kehadrat Ilahi atas ujian wabak Covid-19 ini menyebabkan ahli keluarga yang beragama Islam dapat solat berjemaah bersama di rumah dan kebetulan ia berlaku di bulan Ramadhan. Kali pertama dalam sejarah solat sunat tarawih dan solat sunat aidilfitri berlaku di kalangan ahli keluarga. Adik-beradik dan ahli keluarga bergading bahu dalam memastikan amalan mulia ini berterusan walaupun di musim PKP. Selain itu, kebiasaannya anak-anak yang berkerja di perantauan akan balik kampung dua atau tiga hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Akan tetapi kali ini, ahli keluarga dapat berbuka dan bersahur bersama ibu dan ayah lebih daripada dua minggu. Waktu dan masa orang tua kita tidak lama, gunakan masa ini sebaik mungkin untuk berbakti kepada mereka. Mereka adalah penyokong kita dalam apa jua situasi yang berlaku. Yang dapat berada di rumah bersama orang tua, pastikan rumah anda sentiasa selamat dari wabak Covid-19. Ikut arahan yang telah diberikan oleh kerajaaan dan jangan keluar rumah tanpa kawalan seperti penggunaan mask dan hand sanitizer.
Selain itu, di masa PKP ini ramai pakar-pakar yang ada di Malaysia telah keluar dan turun padang untuk membantu masyarakat. Pelbagai kelas, forum, bengkel, kursus secara online telah dijalankan. Hampir setiap hari masyarakat Malaysia boleh memilih channel pilihan untuk belajar dan menuntut ilmu. Malahan universiti terkemuka dunia seperti Havard membuka kelas online secara percuma. Kebiasaannya untuk menjemput pakar-pakar yang ada memakan kos yang tinggi, akan tetapi di kala fasa PKP ini semua pakar telah berganding bahu untuk sama-sama membantu dan menyediakan platform online untuk masyarakat. Persatuan-persatuan dan NGO sedia ada juga tidak kurang hebatnya, turun padang membantu golongan gelandangan dan yang tidak berkemampuan. Mereka bertindak secara luar biasa, iaitu sanggup mengambil risiko Covid-19 demi membantu orang susah. Satu usaha murni, yang sangat baik dalam memastikan tiada yang terlepas pandang dalam golongan masyarakat di Malaysia. Terima kasih juga kepada pihak kerajaan yang berjaya berfungsi dengan baik dan menyediakan bantuan kepada setiap lapisan masyarakat di kala wabak pendemik dunia ini.
Justeru itu, setiap orang mempunyai pilihan dalam memastikan diri sendiri agar tidak tenggelam dan karam di lautan disebabkan oleh wabak Covid-19 ini. Ya benar, setiap orang mempunyai ujian yang berbeza-beza dan tidak seharusnya solusi itu dipukul rata kepada semua pihak. Setiap individu perlu memainkan peranan penting dalam membantu ahli keluarga, rakan-rakan dan masyarakat di sekeliling kita. Bersama kita berganding bahu dan bersatu padu agar berjaya menghapuskan wabak Covid-19 ini dari terus menular di Malaysia. Pasti kita tidak mahu mendengar kematian di kalangan ahli jemaah yang berdekatan kerana di sebabkan oleh penyakit Coronavirus. Situasi wabak Covid-19 ini bukan satu penghalang kepada masa depan kita, jadikan ia sebagai satu potensi besar untuk kita terus berjaya. Tiada yang sempurna dan tiada yang kekal abadi, bersama kita muhasabah diri atas kelemahan yang ada dan perbaiki semula untuk meneruskan perjuangan kehidupan ini. Akhir kata, Aidilfitri itu setiap tahun, akan tetapi wabak Covid-19 boleh menyebabkan kita tidak jumpa raya lagi atas sebab kematian. Teruskan bangkit Negaraku Harimau Malaya.
Bertarikh : 29 Jun 2020