Kuala Lumpur, 6 Feb 2014 – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan wacana pemberdayaan Sosial Negara 2014 (PESONA) di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa Bandar Tun Razak hari ini yang melibatkan 180 peserta dari peringkat pelajar dan guru sekolah, pelajar IPTA, pemimpin dan wakil agensi dan NGO, serta ahli masyarakat yang prihatin.
Penganjuran program ini merupakan satu pendedahan untuk meningkatkan tahap pengupayaan golongan remaja dan belia daripada pelbagai aspek supaya mereka dapat berfungsi dengan baik dalam pelbagai lapangan. Di samping itu, PESONA juga merupakan medan mengenalpasti keupayaan badan penggerak pembangunan sosial dan golongan sasaran yang terlibat agar metod yang digunakan lebih bersesuaian dengan kelompok sasaran.
Di akhirnya, PESONA bermatlamat untuk membangunkan jati diri dan tahap kemampuan golongan remaja dan belia supaya golongan ini terdidik dengan nilai-nilai kepimpinan dan motivasi diri yang tinggi dan mampu berdikari. Modul Keluarga Mawaddah Wa Rahmah (KAMAR) akan turut dilancarkan sebagai satu gerakan awal ke arah pembentukan dan pemberdayaan keluarga mawaddah wa rahmah yang seterusnya akan melahirkan komuniti yang sihat.
Program ini akan dirasmikan oleh Sdr. Amidi Abdul Manan, Presiden ABIM serta menampilkan barisan panelis berwibawa seperti Assoc. Prof. Dr Haslinda Abdullah, (Timbalan Pengarah IPSAS, UPM), Tuan Shafezan Rusli,(Pendakwa Syar’ie Selangor), DSP Zaiton Che Lah, (Pegawai DII PDRM), Sdr. Mohd. Zaidi Aziz, (Setiausaha Agung MBM), En. Fauwaz Hasbullah, (Pegawai Bahagian Pembangunan Keluarga, LPPKN), dan Puan. Fadhlina Sidek, (Naib Presiden HELWA ABIM).
Antara slot yang akan diketengahkan ialah “Trend Belia Muda Alaf Baru; Antara Kehendak dan Keperluan”,”Krisis Sosial Belia Muda di Malaysia; Faktornya”, dan ”Analisa dan Pemberdayaan Belia ke Arah Kesejahteraan Keluarga Mawaddah Wa Rahmah .
Majlis turut diserikan dengan bacaan gurindam dan pengenalan mengenai gurindam yang menvuit hati peserta. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Saudara Mohamed Maliki Mohammed Rapiee, Presiden Majlis Belia Malaysia.