KUALA LUMPUR, 15 November – Majlis Belia Malaysia berjaya menganjurkan Program Masterclass Citra Wanita x Rakan Mahir yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 November 2026 di Bilik Seminar Majlis Belia Malaysia.
Program ini bertujuan memperkasakan wanita belia dengan kemahiran asas yang membentuk imej dan keyakinan diri, merangkumi tiga modul utama iaitu Protokol dan Etiket, Pengucapan Awam serta Keterampilan Diri. Setiap modul disampaikan oleh jurulatih berbeza dalam sesi yang berfokus kepada pembelajaran praktikal.
Pada hari pertama, peserta didedahkan dengan modul Protokol dan Etiket yang disampaikan oleh Zurina Johari. Peserta mempelajari tatacara pengurusan jamuan dan etika di meja makan, termasuk susunan peralatan hidangan serta adab yang perlu dipatuhi dalam majlis rasmi dan sosial.
Hari kedua pula menumpukan modul Pengucapan Awam di bawah bimbingan Dahinoor John. Peserta dilatih menyampaikan mesej dengan lebih jelas dan meyakinkan melalui teknik bahasa badan, penggunaan suara, kawalan jeda serta pemilihan perkataan yang berkesan. Peserta turut berpeluang berucap di hadapan rakan-rakan dan menerima maklum balas secara langsung.
Hari ketiga ditutup dengan modul Keterampilan Diri yang disampaikan oleh Hafiz Mustafa. Dalam sesi ini, peserta mempelajari cara menampilkan imej diri yang kemas dan berkeyakinan, termasuk pemilihan warna yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing melalui sesi demonstrasi dan praktikal.
Program ini diharap dapat melahirkan wanita belia yang lebih berkeyakinan, berketerampilan dan bersedia memikul peranan dalam pelbagai bidang, selaras dengan usaha MBM memperkasakan belia di peringkat akar umbi.
Turut hadir pada program ini ialah Jessy Ng Chor Eng, Naib Presiden MBM.














































