MAJLIS BELIA MALAYSIA

Peserta SSEAYP ikuti program kemasyarakatan

kapalbelia2011

PELABUHAN KLANG 28 Nov. – Peserta Southeast Asian Youth Ship Programme and Japan (SSEAYP) yang mengikuti program kemasyarakatan selama empat hari di negara ini akan didedahkan dengan aktiviti berbentuk kefahaman budaya serta pembangunan negara.

Program penuh SSEAYP berlangsung selama 52 hari bermula 25 Oktober lalu dan akan berakhir 16 Disember ini melibatkan 319 peserta dari 10 negara ASEAN.

Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan, Borhan Dolah berkata, pihaknya akan menunjukkan kepada peserta berkenaan transformasi negara dengan melawat Proton Holdings, Putrajaya Holdings, Litar Antarabangsa Sepang, Universiti Limkokwing dan Universiti Multimedia (MMU).

“Di samping itu, untuk merasai kehidupan sebenar rakyat Malaysia, kami akan menempatkan mereka di inap desa selama dua malam bersama keluarga angkat di sekitar Lembah Klang.

“Ia sebagai platform merapatkan hubungan antara pemimpin muda, sekali gus sebagai satu peluang untuk memperbaiki hubungan negara dan serantau, khususnya negara ASEAN pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita di Glen Ports and Cruise Terminal Westport, Pulau Indah di sini, hari ini.

Menurut Borhan, Pelabuhan Klang Cruise Centre, Pulau Indah merupakan perhentian keempat peserta program itu selepas negara Brunei, Filipina dan Indonesia.

“Program SSEAYP ini telah berlangsung sejak tahun 1974 dan dipelopori oleh Jepun.

“Di samping merapatkan hubungan dua hala, secara tidak langsung peserta akan dapat memahami dan didedahkan tentang kemajuan negara yang mereka lawati,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Brunei, Aziman Mohd. Salleh, 24, berkata, sepanjang mengikuti program ini banyak pendedahan dan pengalaman berguna yang diperoleh.

“Program ini sangat bagus, sesuai untuk belia. Kita dapat bertukar pandangan dan pendapat,” katanya yang kali pertama mengikuti program ini.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »