MAJLIS BELIA MALAYSIA

Perutusan Kemerdekaan Negara Ke – 59

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan al-Rahman yang telah mengurniakan nikmat dan rahmat ke atas sekalian manusia, maka kita dapat merasai limpah kurniaanya di atas bumi Malaysia ini. Bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara kita yang ke – 59, Majlis Belia Malaysia ingin mengambil kesempatan merakamkan rasa sembah takzim kepada Tuhan yang telah memberikan kesentosaan kepada seluruh warganegara Malaysia dan hadiah kemerdekaan yang berterusan dinikmati. Kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi  negara ini adalah penzahiran atas semangat kebersamaan dan komitmen berterusan pemimpin dan rakyat yang sentiasa berganding bahu memikul amanah negara.  Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib B. Tun Hj Abdul Razak, Malaysia melangkah sederap lagi ke hadapan dengan agenda transformasi menuju negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Hakikatnya, sebagai sebuah negara Islam yang dinamik lagi progresif, menurut peradaban dan Maqasid Syariah, pra syarat kepada pembikinan sesebuah negara bangsa menuntut kepada asas wujudnya keamanan serta kestabilan. Pengukuhan asas ini amatlah penting sebagai pemangkin ke arah memastikan negara Malaysia yang dicintai ini terus menuai kemakmuran dan berkongsi kesejahteraan bersama.

Pengulangan tema sambutan kemerdekaan “sehati sejiwa” pada tahun ini membuktikan keseriusan kerajaan untuk mencipta keluarga rakyat Malaysia yang mampu mengungkapkan kesepaduan sosial dalam setiap denyut nadi pelbagai lapisan rakyat.  “Sehati Sejiwa” menandakan sifat ‘seiya sekata, selangkah seiringan’,  ‘selenggang, seayun’ dalam satu suara dan matlamat sepunya menuju arah membawa negara ini menuju negara maju dan memastikan kemerdekaan ini terus berkelanjutan dan kemakmurannya terus melimpahi bumi tercinta ini.

Dalam konteks perjuangan belia, semangat kemerdekaan tahun ini turut  diraikan bersama dengan pengiktirafan demi pengiktirafan yang diberikan di peringkat antarabangsa kepada aktivis belia negara ini. Terbaharu penganugerahan Tokoh Belia ASEAN telah diberikan kepada Sdr Mohd Syahbuddin Hashim, Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia sebagai kesinambungan pengiktirafan antarabangsa yang diberikan kepada Kishva Ambigapathy kerana telah dipilih sebagai Pengerusi Majlis Belia Komanwel. Hal ini membuktikan, sebagai negara yang merdeka dan berdaulat, rakyat negara ini turut memiliki kompetensi yang diperakukan di pelbagai peringkat dan tentunya peranan mereka jelas diperlukan. Semangat seperti inilah yang perlu dicontohi oleh warga belia negara untuk mengangkat martabat negara di peringkat tertinggi.

Majlis Belia Malaysia juga ingin menyampaikan pesan kepada seluruh rakyat negara ini khususnya kepada golongan belia untuk mengisi kemerdekaan ini dengan kesedaran menyeluruh  melalui suluhan ilmu, ketajaman fikiran dan jati diri yang utuh. Pergerakan tamaddun dunia hari ini memerlukan kita bersaing dalam medan keilmuan, intelektual, kemahiran generik, saintifik dan teknologi dengan menghasilkan pelbagai inovasi yang bakal menempatkan masyarakat dan negara berkenaan sebagai peneraju kemajuan dunia. Maka, marilah kita menanamkan kesedaran, melihat diri bukan sekadar perlu berperanan di kampung, daerah atau negeri sahaja, sebaliknya kutiplah semangat untuk menjadi generasi pemimpin tamaddun, pencorak dan pelakar sejarah baru yang bakal membawa masyarakat menuju kesejahteraan dalam erti kata kemerdekaan jiwa sepenuhnya.

Semoga kemerdekaan ini disambut dengan jiwa besar, dengan keluasan ufuk pemikiran seluruh warganegara Malaysia seiring dengan kematangan aspirasi kepemimpinan negara. Bersama berdiri, mengalirkan kecintaan kepada tanah tumpahnya darah kita, teguh menghadap arus, menahan badai gelombang dan terus mara memacu kegemilangan bersama, sehati dan sejiwa. Merdeka!

 

MBM21219
Presiden MBM

Tuan Haji Mua’amar Ghadafi  Jamal  Datuk Wira Jamaluddin

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM)

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »