MAJLIS BELIA MALAYSIA

PERTEMUAN MENTERI KPDNKK BERSAMA NGO TEMPATAN

Pertemuan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Hasan Malek bersama NGO-NGO tempatan termasuk persatuan pengguna seluruh negara telah diadakan bagi tujuan mendengar keluhan daripada wakil-wakil pengguna serta bagi mendapatkan pandangan NGO tempatan mengenai kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat ketika ini.

Pertemuan ini menyentuh beberapa perkara penting termasuk peranan NGO dalam memberikan kesedaran kepada pengguna mengenai punca-punca kenaikan kos sara hidup. NGO tempatan juga digalakkan untuk menganjurkan program-program bertemu pengguna bagi memberi kesedaran dan mendidik rakyat tentang bagaimana untuk mengatasi tekanan kos sara hidup yang meningkat. Gerakan kepenggunaan dilihat penting bagi membela nasib pengguna yang dianiaya sekaligus dapat memperkasakan peranan pengguna itu sendiri.

Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diwakili Presiden, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, menyatakan beberapa pandangan dan langkah yang akan diambil oleh MBM sendiri bagi membela nasib belia di Malaysia. Antaranya termasuk langkah pro-aktif MBM yang akan mengadakan Makmal Kos Sara Hidup MBM serta MBM sendiri turut memohon agar beberapa kenaikan yang bakal terjadi pada 2014 ini supaya ditangguhkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak. Sdr. Maliki juga menyatakan kebimbangan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan pelaksanaan GST untuk mereka menaikkan lagi harga barang. Beliau turut bimbang mengenai kesan langsung yang akan terjadi apabila tarif elektrik dinaikkan kerana kos pembuatan pengilang akan mendapat kesan yang besar sekaligus pelbagai barang lagi akan dinaikkan harga. Selain itu, isu pemberian AP kepada golongan tertentu sekaligus keuntungan dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja dilihat sebagai isu turut dinyatakan. Sdr. Maliki turut menyentuh perkara mengenai kebergantungan sektor sektor  pertanian kepada bahan-bahan import. Bukan setakat baja, malah mesin dan pekerja turut diimport. Perkara ini dilihat merugikan syarikat-syarikat pengeluar tempatan dan peluang anak muda untuk menceburi bidang ini semakin terhad.

Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam ini antara lain membincangkan permasalahan mengenai penyebaran maklumat yang tidak tepat di media sosial dan tindakan yang perlu diambil bagi mengatasi masalah tersebut.  Di samping itu, pertemuan ini juga memberi peluang kepada wakil-wakil dari NGO dan persatuan pengguna tempatan bertukar-tukar pandangan dan idea bagi mengatasi masalah peningkatan kos sara hidup.
image

image

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »