MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pertemuan MBM-KNPI: Kita Berkongsi Udara dan Air yang Sama

Kuala Lumpur, 18 Sept 2015 – Susulan daripada pertemuan perwakilan Badan Perwakilan Komite Nasional Pemuda Indonesia (BP KNPI) bersama barisan kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang diadakan semalam, ia dilihat berjaya membentuk beberapa kata sepakat bagi mencari langkah yang boleh dilakukan mengenai isu jerebu serantau. KNPI yang diketuai oleh Ketua Badan Perwakilannya di Malaysia, Saudara Muhammad Yasar hadir bersama barisan exconya susulan selepas program pengedaran topeng muka yang dijayakan MBM-KNPI di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Pertemuan ini mencipta sejarah kerana ia merupakan kali pertama diadakan dalam sesi dialog bersama yang pada kali ini membincangkan isu jerebu dalam konteks belia yang lebih serius.

Sesi dialog dimulakan dengan pembentangan daripada KNPI mengenai keadaan semasa yang berlaku di Indonesia termasuk akta-akta sedia ada. Seterusnya membentangkan mengenai penguatkuasaan akta dan undang-undang yang telah digariskan oleh kerajaan Indonesia dalam menangani isu alam sekitar serta faktor-faktor penyebab kepada isu yang kerap terjadi saban tahun ini.

Isu ini turut membabitkan piagam negara-negara ASEAN bagi menggalakkan pembangunan yang berterusan supaya dapat memastikan perlindungan alam sekitar di rantau ini, keberterusan sumber aslinya, pemeliharaan warisan budayanya dan kualiti hidup rakyatnya yang tinggi. KNPI turut menyatakan 36% daripada pembakaran berpunca daripada pembakaran hutan tanaman industri, 11% berpunca daripada perladangan sawit di Indonesia dan lain-lain punca sejumlah 53%.

Dalam sesi dialog ini MBM turut berkongsi akta-akta yang membabitkan alam sekitar negara di peringkat kerajaan persekutuan dan juga kerajaan tempatan. MBM memperincikan mengenai patern pembakaran yang berlaku kini yang berdasarkan pemantauan dan kajian oleh World Resources Institute di mana taburan titik panas dan amaran pembakaran meningkat sejak dua minggu lalu, melebihi puncak tertinggi sejak dua tahun lalu.

Usaha serius yang dilakukan Malaysia dapat dilihat dengan pertemuan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan rakan sejawatnya di Indonesia hari ini bagi membincangkan kandungan MoU yang akan menyentuh bagaimana kedua-dua negara boleh “membantu dan bertukar idea mengenai kebakaran hutan dan tanah gambut.”

Dalam konteks gerakan belia dalam menangani isu ini, MBM dan KNPI menyarankan  di negara masing-masing;

  1. Institusi belia memainkan peranan mendesak kerajaan agar masalah ini diselesaikan segera di peringkat tertinggi.
  2. Program-program pendidikan mengenai kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar perlu dibuat secara menyeluruh
  3. Mengadakan sesi dialog belia serantau dengan menekankan isu penjagaan alam sekitar
  4. Langkah inovasi bagi menjamin kualiti udara untuk jangka masa panjang seperti penggunaan insinerator yang perlu diperkembangkan sebagi ganti pembakaran terbuka di samping pembenihan awan untuk membanteras jerebu dalam jangka masa pendek.

Langkah bersama MBM-KNPI ini adalah sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat belia kedua-dua buah negara serumpun sempena memorandum persefahaman (MoU) baharu dengan Indonesia yang akan diguna pakai dalam tempoh lima tahun.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »