MAJLIS BELIA MALAYSIA

Pertahankan hak dan kesejahteraan generasi masa depan

15 Mei secara tradisinya merupakan sambutan Hari Belia Negara (HBN) semenjak 1964 bagi mengiktiraf sumbangan, pencapaian dan pengorbanan generasi muda belia di semua peringkat.

Tahun ini tidak terkecuali namun ianya disambut secara sederhana dalam suasana pandemik yang agak suram dan muram. Pandemik sudah tentu meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kesejahteraan dan masa depan generasi muda belia. Sebagaimana kebanyakkan rakyat Malaysia, belia Malaysia menerima kesan berganda apabila bukan sahaja mereka terkesan dengan keadaan ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kesihatan mental namun masa depan mereka juga kelihatan kelam dan tidak menentu.

Sumbu semangat dan obor harapan generasi muda belia Malaysia mesti dihidupkan segera bagi memastikan mereka bingkas bangkit berdepan cabaran dan meneroka masa depan. HBN yang disambut hari ini diharapkan dapat mencetuskan petikan nyalaan tersebut.

Justeru, untuk jangka masa pendek, Majlis Belia Malaysia (MBM) suka mempertegaskan agar Kerajaan terus memberikan bantuan tunai kepada belia dan rakyat bagi menyara keperluan harian dan membiayai kos pendidikan mereka di samping memperkukuhkan sistem sekuriti sosial. Aspek pendidikan dan pekerjaan generasi muda belia wajib terus dijamin bagi berhadapan dengan situasi pandemik yang tidak menentu ini.

Hak dan kesejahteraan generasi muda belia sebagai aset generasi masa depan negara wajib dipertahankan dan dipelihara daripada tangan-tangan rakus yang menjarah kekayaan negara, perosak alam sekitar, para perasuah dan pengkhianat yang hanya memikirkan tembolok mereka dan langsung tidak mempedulikan nasib dan masa depan generasi muda belia.

Bagi tujuan agenda besar dan jangka panjang ini MBM tegas mencadangkan agar digubal akta khusus yang dinamakan Akta Kesejahteraan Generasi Masa Depan yang berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.

Akta ini bertujuan menggesa agar pemimpin politik, pembuat polisi dan pentadbir sentiasa memikirkan hak dan kesejahteraan generasi masa depan dalam setiap pembuatan keputusan dan polisi sebagaimana yang terdapat di Wales di mana ia dikenali sebagai Well-being of Future Generations (Wales) Act 2015.

Selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015, MBM juga turut menggesa Kerajaan agar segera menggubal Akta Kerja Belia Profesional bagi mewujudkan ekosistem dan profesyen pekerja belia profesional yang membimbing jati diri dan menggilap bakat generasi muda belia secara profesional dan sepenuh masa sekaligus mengiktiraf peranan pengamal kerja belia dan mewujudkan kerjaya berasaskan kemanusiaan yang semakin crucial dewasakini.

MBM berazam untuk terus membawa suara dan mempertahankan hak generasi muda belia agar aset terpenting Negara ini dipelihara hak, kesejahteraan dan masa depan mereka.

Selamat menyambut Hari Belia Negara 2021 kepada semua belia dan rakyat Malaysia!

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 15 Mei 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »