14 Mac 2016
Hari ini merupakan Hari Komanwel dan Ratu England sedang menghadiri sambutan tersebut di Westminster Abbey yang terletak berhampiran tempat persidangan kami. Terdapat kira-kira 50-60 orang ahli parlimen dari Negara-negara Komanwel yang hadir bersidang untuk Persidangan Parlimen Antarabangsa bagi Kelangsungan, Tenaga dan Pembangunan di Church House Westminster, London. Persidangan ini berlangsung pada 14 Mac hingga 17 Mac 2016.
Agenda pada hari pertama persidangan ini adalah bagi membincangkan konteks perbincangan yang akan berlangsung sepanjang 4 hari ini. Pengenalan ringkas bagi setiap dasar dan persetujuan antarabangsa seperti Sustainable Development Goals dan COP21 telah dibentangkan oleh beberapa orang panelis. Ahli panel bagi tiga sesi perbincangan pada hari ini hadir dari organisasi penyelidikan, ahli parlimen dari House of Lords UK, dan ahli perniagaan sosial. Para panelis juga membincangkan hubungkait antara kemiskinan dan perubahan iklim bagi memastikan tujuan kelangsungan seiring dengan pembangunan. Sesi akhir membentangkan mengenai hasil dapatan dari acara konsultasi di peringkat rantau Asia, Africa, dan Carribean yang telah dianjurkan oleh pihak pengajur, Commonwealth Parliamentary Associations dan House of Lords UK baru-baru ini.
Di sesi akhir, delegasi dan pemerhati kemudiannya diiringi ke Westminster Abbey bagi pelancaran buku elektronik yang bertajuk International Parliamentarians’ e-Handbook on Sustainability, Energy and Development Implementing the SDGs – 2015-2030 yang boleh dirujuk di pautan ini http://www.uk-cpa.org/ehandbooks/ehandbook-on-sustainability-energy-and-development/
Disediakan Oleh :
Syafiqah Abdul Rahim
Pegawai Penyelidik, Arkib dan Sumber
Majlis Belia Malaysia