Rakyat tidak berpuasa dalam memperkatakan isu ini sekalipun kita di dalam bulan Ramadan. Sidang Parlimen yang ditetapkan sehari pada 18 Mei 2020 dikatakan bakal mengkafankan Kerajaan Perikatan Nasional iaitu kerajaan semasa Malaysia hari ini.
Perikatan Nasional (PN) bakal mencatat sejarah paling memalukan apabila mungkin menjadi kerajaan Malaysia dengan tempoh pemerintahan terketot.
Ya, malang untuk Malaysia jika kerajaan yang prihatin ini umurnya terlalu pendek. Malu, haru, sayu.
Kerajaan yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia dalam menangani wabak Covid-19 berbanding beberapa negara maju. Kerajaan yang prihatin apabila mengeluarkan sejumlah RM260 bilion khazanah negara bagi meringankan beban rakyat termasuk golongan belia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terlaksana melalui Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Bahkan khalayak pemain industri dan sektor pekerjaan juga mendapat tempiasnya. Kerajaan ini bukan kerajaan yang dipilih rakyat, tapi kerajaan ini mengambil berat terhadap rakyatnya.
Warga belia juga cakna isu ini. Masakan belia tidak terasa. Kerajaan PN inilah yang kembali benar-benar mendengar suara belia berpersatuan apabila berusaha dan bertindak mengembalikan semula dengan segera peruntukan bantuan pentadbiran kepada persatuan persatuan belia peringkat nasional, majlis belia negeri dan majlis belia daerah yang bernaung dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) setelah bantuan yang serupa seolah-olah sengaja disekat-sekat oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
Persoalannya, mungkinkah Kerajaan PN bakal terkubur melalui undi tidak percaya yang akan dibentangkan pada sidang 18 Mei 2020 nanti?
Berdasarkan perkiraan penulis, hayat Kerajaan PN akan lebih panjang melepasi 18 Mei 2020, Insya Allah.
Dengan hanya satu hari diperuntukan untuk sidang Dewan Rakyat akibat wabak Covid-19, segalanya akan menjadi sangat terhad untuk semua pihak. Ya Dewan Rakyat mesti menjadi contoh utama kepada rakyat dalam isu mengelakkan perhimpunan semasa wabak Covid-19 masih dalam peringkat kawalan. Benar Dewan Rakyat perlu bersidang, tapi bersidanglah mengikut fasal keutamaan.
Sidang kali ini akan dibuka dengan Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagaimana ditetapkan Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan. Ia bagaikan “Throne Speech” yang diamalkan oleh Parlimen Britain sejak abad ke 16. Titah ini akan menyentuh hasrat Baginda selaku Ketua Negara terhadap dasar kerajaan semasa.
Kemudian Ahli-Ahli Parlimen pula akan dibenarkan membahaskan Titah DiRaja ini. Sudah pasti ia akan memakan masa. Dengan tempoh sehari, sudah pasti tidak sempat. Ini belum lagi jika terdapat usul dari pihak kerajaan yang perlu didahulukan sebagaimana Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Penulis percaya, ada beberapa usul kerajaan yang menunggu juga untuk dibentangkan.
Bahkan usul untuk menetapkan YB Ahli Parlimen Port Dickson sebagai Ketua Pembangkang juga dikatakan akan dibentangkan pada tempoh sehari tersebut. Mudah-mudahan usul tersebut tidak pula dibantah oleh mana-mana Ahli Parlimen Pembangkang kerana kita tahu di sana ada mantan Perdana Menteri Malaysia ke 7.
Kesimpulannya dan pada asas logikanya, sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020 ini tidak akan menjadi penamat hayat Kerajaan PN.
Mana-mana usul yang tertunda akan ada peluangnya pada sesi yang akan datang. Penulis menyeru para belia terus berdoa agar kita dan Malaysia amnya terus dikurniakan kerajaan yang prihatin kepada warganya.
Kerajaan dan Pembangkang wajib fokus kepada meringankan kesengsaraan rakyat pasca Covid-19 yang dijangka lebih mencabar.
#SalamRamadanKareem
MOHD FARED BIN MOHD KHALID
PENGERUSI
BIRO PERUNDANGAN, ADVOKASI DAN HAK ASASI
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh: 10 Mei 2020