MAJLIS BELIA MALAYSIA

Persekitaran Makanan dan Kesihatan Belia: Membina Sistem Yang Memudahkan Pilihan Sihat

Oleh :

Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia /

Pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan Komuniti

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Sempena Hari Ahli Pemakanan Malaysia (Nutritionists Day) pada 4 September, sudah tiba masanya kita menghargai peranan ahli pemakanan yang menyumbang dalam pelbagai bidang, termasuk kesihatan awam, klinikal, sukan, akademik, penyelidikan, komuniti dan sektor swasta. Sebagai salah satu profesion kesihatan yang memerlukan pendaftaran dan tertakluk kepada kawal selia di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), profesion pemakanan bukan sekadar berkaitan dengan memberitahu seseorang apa yang patut atau tidak patut dimakan. Ahli pemakanan membantu individu dan masyarakat mencapai kesihatan dan kesejahteraan melalui penilaian, pendidikan, kaunseling dan intervensi pemakanan berasaskan bukti.

Peranan ini menjadi semakin penting apabila Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024: Pemakanan menunjukkan bahawa 53.6% orang dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, termasuk 23.1% yang mengalami obesiti. Dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berusia 5 hingga 19 tahun pula, 28.0% mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.

Namun, jika kita benar-benar mahu menyokong usaha profesion pemakanan, kita perlu melakukan anjakan paradigma. Kita perlu melangkaui budaya menuding jari kepada individu dan menangani secara kolektif realiti sosial, praktikal dan ekonomi yang membentuk cara makanan dihasilkan, dipasarkan, diperoleh dan dimakan.

Kita tidak boleh terus meminta belia memilih dengan lebih baik tanpa memastikan mereka mempunyai pilihan yang lebih baik.

Daripada Menuding Jari kepada Mengubah Persekitaran Makanan

Persekitaran makanan bukan sekadar apa yang terdapat di atas rak kedai. Ia merangkumi apa yang tersedia, berapa harganya, sejauh mana ia mudah dicapai, bagaimana ia dipromosikan dan sejauh mana pilihan tersebut sesuai dengan kehidupan seharian seseorang.

Ringkasan Dasar Persekitaran Makanan Obesogenik Asia Tenggara (SEAOFE) bertajuk “Membuka Jalan kepada Pilihan Lebih Sihat: Memperkukuh Dasar Berkaitan Peruncitan Makanan bagi Pilihan Berkhasiat yang Mampu Milik dan Mudah Diakses”, yang melibatkan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama rakan penyelidik serantau, menunjukkan bahawa 56.2% produk makanan di peringkat peruncitan di Malaysia dikategorikan sebagai produk diskresionari, iaitu makanan dan minuman yang tidak diperlukan oleh badan untuk membekalkan nutrien penting, tetapi diambil sekadar untuk menambah kepelbagaian atau keseronokan dalam diet.

Lebih penting, kajian tersebut menunjukkan bahawa keputusan pembelian pengguna dipengaruhi oleh harga yang mampu dibayar (91.2%), kemudahan akses (89.9%) dan kebiasaan (86.6%). Ini memberi kita satu mesej yang jelas: pilihan makanan bukan semata-mata hasil pengetahuan atau disiplin individu. Persekitaran di sekeliling kita turut menentukan pilihan yang paling mudah dibuat.

Bagi belia, perkara ini amat ketara. Ramai yang belajar di universiti, bekerja dalam jadual yang panjang, tinggal di rumah sewa atau asrama, berdepan bajet yang terhad dan bergantung kepada makanan di luar rumah. Apabila seseorang hanya mempunyai masa 15 minit untuk makan atau RM10 untuk satu hidangan, “pilihan paling sihat” mungkin bukan pilihan yang paling mudah atau mampu milik.

Maka, kita perlu berhenti bertanya hanya “Mengapa belia tidak makan dengan sihat?” dan mula bertanya “Apakah persekitaran yang menyebabkan pilihan tersebut menjadi pilihan paling mudah?”

Belia Tidak Memilih dalam Ruang yang Neutral

Kita juga perlu memahami bahawa pilihan makanan dipengaruhi oleh lebih daripada pengetahuan tentang pemakanan. Tekanan, kekurangan tidur, jadual yang padat, keletihan, dan budaya takut ketinggalan (FOMO) dan makanan tular (viral) boleh mempengaruhi selera, tabiat pemakanan serta kecenderungan seseorang terhadap makanan yang cepat dan memberikan kepuasan segera.

Ini tidak bermakna belia tidak bertanggungjawab terhadap pilihan mereka. Sebaliknya, ia bermakna tanggungjawab individu perlu disokong oleh persekitaran yang membolehkan pilihan yang baik dibuat secara realistik.

Jika kita mahu belia makan dengan lebih baik, kita perlu memastikan makanan yang sihat juga mengenyangkan, sedap, mudah diperoleh dan berpatutan, bukan sekadar rendah kalori.

Pada masa yang sama, persekitaran makanan belia hari ini semakin bersifat digital. Pilihan makanan tidak lagi dibentuk hanya oleh apa yang terdapat di kedai, tetapi juga oleh apa yang muncul di media sosial, aplikasi penghantaran makanan, promosi digital dan algoritma yang menentukan apa yang dilihat oleh mereka terlebih dahulu.

Justeru, apabila kita membincangkan persekitaran makanan, kita perlu melihat kedua-dua ruang fizikal dan digital. Dalam konteks ini, pendekatan tradisional yang hanya mengehadkan jarak penjualan makanan dari kompaun sekolah atau mewujudkan panduan jenis makanan yang boleh dijual di kantin sekolah atau kafeteria kampus tidak lagi memadai untuk menangani realiti persekitaran makanan masa kini. Dengan kewujudan platform penghantaran makanan, media sosial dan pemasaran digital, pilihan makanan kini berada di hujung jari. Pendekatan kita juga perlu berubah daripada sekadar mengehadkan apa yang tersedia kepada membentuk persekitaran yang menjadikan pilihan makanan yang lebih sihat mudah, mampu milik dan menarik. 

Dekat, Mampu Milik dan Menarik: Membawa Makanan Sihat kepada Belia

Jika kemudahan akses merupakan antara faktor utama yang membentuk pilihan makanan, kita perlu menggunakan prinsip yang sama untuk makanan yang lebih sihat.

Penyelesaiannya bukan semata-mata menutup atau menyekat premis yang menjual makanan kurang sihat. Sebaliknya, kita perlu memastikan bahawa pilihan yang lebih sihat juga berada di tempat yang sama, pada harga yang munasabah dan dalam bentuk yang menarik.

Kedai serbaneka, kantin sekolah, kafeteria universiti, gerai makanan, dan premis makanan  boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Masalahnya bukan kemudahan itu sendiri tetapi apa yang kita jadikan mudah.

Bayangkan jika seorang mahasiswa boleh mendapatkan hidangan yang seimbang, mengenyangkan, dan berpatutan dalam perjalanan pulang ke kolej. Atau seorang pekerja belia boleh mendapatkan makanan segar yang lengkap dengan sumber protein, sayur, dan karbohidrat pada harga yang mampu dibayar berhampiran tempat kerja.

Dalam konteks ini, kita boleh membangunkan beberapa pendekatan:

Pertama, memperkukuh hubungan antara belia, pertanian dan peruncitan tempatan. Lebih banyak peluang perlu diberikan kepada belia untuk terlibat dalam pertanian, kebun komuniti dan koperasi makanan. Sebagai contoh, universiti boleh bekerjasama dengan belia dalam pertanian untuk membangunkan kebun komuniti yang membekalkan sayur, buah dan herba kepada kafeteria kampus, kedai berhampiran serta komuniti setempat. Hasil pertanian yang tidak memenuhi standard kosmetik pasar raya juga boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk seperti salad siap makan, jus tanpa gula tambahan, pes masakan atau makanan sedia dimakan. Pendekatan ini bukan sahaja mendekatkan makanan segar kepada golongan belia, tetapi turut membuka peluang keusahawanan kepada belia dalam sektor pertanian dan makanan. Kerjasama antara pengeluar tempatan, universiti, komuniti, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta peruncit juga boleh membantu membina rantaian bekalan yang lebih dekat, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan lebih banyak hasil tempatan sampai kepada pengguna.

Kedua, menyokong PMKS untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat dan berpatutan. Cabaran yang dihadapi pengusaha kecil bukan hanya berkaitan resipi, tetapi juga kos bahan mentah, penyimpanan, pembungkusan, logistik dan akses kepada pasaran. Sebagai contoh, sebuah PMKS yang menghasilkan makanan sedia dimakan untuk pelajar mungkin mempunyai idea untuk menawarkan nasi ayam dengan lebih banyak sayur, sumber protein yang mencukupi dan kandungan garam serta minyak yang lebih rendah, tetapi berdepan kos pembungkusan yang lebih tinggi dan kesukaran memastikan makanan kekal selamat serta berkualiti. Sokongan kerajaan boleh diberikan melalui geran pembangunan produk, kemudahan dapur dan rantaian sejuk yang dikongsi, bantuan pembungkusan serta peluang untuk produk tersebut dipasarkan di kafeteria universiti, premis komuniti dan rangkaian peruncitan. Dengan sokongan sedemikian, pengusaha tidak perlu memilih antara menghasilkan makanan yang lebih sihat dengan mengekalkan harga yang mampu dibayar oleh belia. Sebaliknya, kita boleh mewujudkan ekosistem yang membolehkan kedua duanya dicapai.

Ketiga, menjadikan makanan sihat lebih menarik. Kita memerlukan cef, pengusaha makanan dan inovator tempatan untuk menterjemahkan bahan tempatan kepada hidangan yang memenuhi cita rasa belia. Sebagai contoh, nasi lemak tidak semestinya perlu diketepikan. Ia boleh ditawarkan dalam versi yang lebih seimbang dengan nasi dalam sukatan bersesuaian, sumber protein seperti ayam atau telur, tambahan sayur dan sambal yang tidak berlebihan. Begitu juga hidangan seperti nasi ayam, mi goreng, atau laksa boleh diinovasi dengan meningkatkan kandungan sayur dan sumber protein serta mengawal penggunaan minyak, garam dan gula tanpa menghilangkan identiti makanan tersebut.

Pendekatan ini penting kerana makanan sihat tidak seharusnya dilihat sebagai “makanan diet” yang mahal. Ia perlu menjadi makanan yang sedap, mengenyangkan, mampu milik, dan dekat dengan budaya makan kita. Dengan kreativiti pengusaha makanan, pilihan yang lebih sihat boleh menjadi pilihan yang ingin dibeli oleh belia, bukan sekadar pilihan yang mereka rasa perlu dibeli.

Kampus dan Fakulti sebagai Makmal Persekitaran Makanan Belia

Jika kita serius mahu membentuk generasi yang lebih sihat, kampus dan institusi pendidikan merupakan antara tempat paling strategik untuk bermula.

Universiti boleh menjadi contoh bagaimana persekitaran makanan yang sihat dibina secara menyeluruh. Ini boleh merangkumi pilihan makanan yang lebih berkhasiat dan berpatutan di kafeteria, makanan sihat sebagai pilihan lalai, akses kepada air minuman percuma, pelabelan pemakanan yang mudah difahami serta kemudahan pantri dan penyimpanan makanan yang baik di kolej kediaman dan pantri fakulti.

Pendekatan ini penting kerana tidak semua belia mempunyai dapur yang sesuai untuk memasak. Bagi mereka yang tinggal di rumah sewa atau asrama, peti sejuk yang dikongsi, ruang dapur yang terhad, dan jadual yang padat boleh menjadikan penyediaan makanan sebagai satu cabaran.

Maka, akses kepada makanan yang sihat dan sedia dimakan juga merupakan sebahagian daripada infrastruktur kesihatan belia.

Gunakan Teknologi untuk Memudahkan, Bukan Menambah Beban

Teknologi juga boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Jika platform digital dan e-dompet sudah digunakan untuk mempengaruhi tingkah laku pengguna melalui promosi, diskaun dan sistem ganjaran, mengapa pendekatan yang sama tidak boleh digunakan untuk menjadikan pilihan makanan yang lebih sihat lebih berbaloi?

Sebagai contoh, e-dompet atau program kesetiaan boleh menawarkan ganjaran bagi pembelian makanan yang memenuhi kriteria pemakanan tertentu, termasuk diskaun, mata ganjaran atau baucar.

Kita juga boleh meneroka kerjasama dengan platform penghantaran makanan untuk meningkatkan keterlihatan pilihan yang lebih sihat, menawarkan promosi makanan seimbang dan memudahkan pengguna mencari pilihan berkhasiat pada harga yang berpatutan.

Model gamifikasi kesihatan seperti AIA Vitality menunjukkan bagaimana ganjaran dan insentif digital boleh digunakan untuk menggalakkan tingkah laku kesihatan. Pendekatan seumpama ini boleh diterokai dalam konteks pemakanan, tetapi perlu dilaksanakan secara sukarela, telus dan dengan perlindungan privasi pengguna.

Teknologi sepatutnya menjadi alat yang mengurangkan beban membuat keputusan, bukannya satu lagi mekanisme untuk menyalahkan pengguna.

Bina Komuniti yang Memudahkan Hidup Sihat

Persekitaran makanan juga tidak boleh dipisahkan daripada persekitaran fizikal.

Kita perlu memastikan belia mempunyai akses kepada taman yang selamat, laluan berjalan kaki, kemudahan sukan dan ruang rekreasi yang mudah dicapai tanpa kos yang tinggi. Kemudahan tersebut perlu direka supaya aktiviti fizikal boleh diselitkan dalam rutin harian, sebelum atau selepas kerja dan pembelajaran, bukan memerlukan masa tambahan yang sukar diperuntukkan.

Begitu juga, perancangan kawasan perumahan, kampus dan tempat kerja perlu mengambil kira akses kepada makanan sihat, pengangkutan aktif dan ruang komuniti.

Matlamatnya ialah mewujudkan persekitaran yang menyokong pilihan sihat tanpa memerlukan usaha luar biasa daripada individu.

Daripada Nasihat kepada Perubahan Sistem

Justeru, jika kita mahu menjadikan kesihatan pemakanan belia sebagai agenda negara, kita memerlukan tindakan merentas sektor.

Pihak berkepentingan boleh mempertimbangkan beberapa langkah:

  1. Menilai persekitaran makanan belia di sekitar kampus, kawasan perumahan, tempat kerja dan komuniti dari segi harga, ketersediaan, akses dan promosi makanan melalui inisiatif seperti Youth Food Environment Watch (YFEW), sebuah inisiatif oleh SHAPE Asia dan World Vision, melibatkan golongan belia dalam menilai dan memantau persekitaran makanan di komuniti mereka, termasuk aspek ketersediaan, kemampuan, akses dan promosi makanan;
  2. Memperluaskan akses kepada makanan sihat yang mampu milik di institusi pendidikan, tempat kerja dan premis komuniti;
  3. Menghubungkan pengeluar tempatan, belia dalam pertanian dan PMKS dengan institusi serta rangkaian peruncitan bagi memperkukuh bekalan makanan yang lebih segar dan berpatutan;
  4. Mewujudkan pendekatan yang lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran makanan digital, termasuk promosi dan pemasaran makanan kepada golongan muda;
  5. Melibatkan belia dalam mereka bentuk dasar makanan, bukan sekadar menjadikan mereka kumpulan sasaran dasar.

Yang terakhir ini amat penting. Belia bukan sekadar penerima manfaat dasar pemakanan, mereka perlu menjadi rakan kongsi dalam mereka bentuk persekitaran makanan yang mereka diami.

Sempena Hari Ahli Pemakanan Malaysia, marilah kita menghargai ahli pemakanan bukan hanya dengan mengiktiraf profesion mereka, tetapi dengan memastikan kepakaran mereka dapat diterjemahkan kepada perubahan sistem yang lebih besar.

Kita tidak boleh terus meminta belia memilih dengan lebih baik jika pilihan yang lebih baik sukar ditemui, lebih mahal atau memerlukan lebih banyak masa dan usaha.

Matlamat kita bukan untuk menjadikan setiap belia pakar pemakanan. Matlamat kita ialah membina persekitaran di mana pilihan yang sihat, mampu milik, mengenyangkan dan menarik menjadi pilihan yang paling mudah.

Jika kita mahu generasi belia yang lebih sihat, kita bukan sekadar perlu mengubah apa yang mereka makan.

Kita perlu mengubah persekitaran yang menentukan apa yang mudah untuk dimakan oleh mereka.

Bertarikh : 4 September 2026

* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »