MAJLIS BELIA MALAYSIA

Persatuan belia perlu elak gejala negatif

SEREMBAN 9 April 2012 – Usaha bagi memastikan golongan belia tidak terjebak dengan gejala tidak sihat memerlukan peranan semua persatuan di negeri ini untuk menarik seramai mungkin belia menyertai aktiviti berpersatuan.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Seremban, Wan Mud Shardihan Wan Dahalan berkata, untuk merealisasikan hasrat itu setiap persatuan belia perlu memantapkan aktiviti mereka supaya bersesuaian dengan kehendak golongan muda.

Jelas beliau, setiap persatuan juga perlu aktif menambah bilangan ahli terutama dari golongan belia kerana dengan jumlah ahli yang ramai barulah sesuatu aktiviti berjaya dilaksanakan.

”Sudah tiba masanya untuk kita menamatkan segala label-label tidak sihat yang mana golongan belia kini sering dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial seperti pelesit rempit, dadah dan jenayah yang lain.

”Saya yakin sekiranya mereka aktif dalam sesuatu persatuan golongan ini akan terhindar daripada aktiviti-aktiviti negatif seperti ini,” katanya di sini semalam.

Wan Mud Shardihan berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran oleh Majlis Belia Daerah Seremban kepada persatuan Gabungan 2012 di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Baharuddin Jali.

Sementara itu, Baharuddin dalam ucapannya pula memuji barisan kepimpinan Majlis Belia Daerah Seremban yang sanggup mengagihkan bantuan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu kepada lapan persatuan gabungan yang lain di bawah mereka.

Jelasnya, Majlis Belia Daerah Seremban merupakan satu-satunya Majlis Belia di negeri ini yang mengagihkan peruntukan tersebut kepada persatuan yang bergabung dengan mereka.

”Saya mengucapkan syabas kepada Majlis Belia Daerah Seremban kerana komited dalam membantu persatuan di bawah mereka dengan pengagihan bantuan ini.

”Kita berharap dengan bantuan ini setiap persatuan dapat mengerakkan aktiviti mereka dengan lebih lancar dan terus membantu kerajaan dalam membentuk masyarakat yang sihat,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »