KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan supaya pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun ditangguhkan ke tahun 2023.
Timbalan Presiden MBM, Muhd Fadzli Hasan, berkata tempoh yang diberikan untuk perubahan itu menjelang 1 Januari depan, tidak mencukupi dan kebanyakan persatuan belum membuat persediaan rapi.
“Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membuat pengumuman itu kira-kira dua minggu lalu dan persatuan cuma ada kira-kira enam minggu untuk membuat persediaan.
“Jadi, secara logik memang kita belum bersedia. Persediaan persatuan ketika ini dianggarkan kurang 50 peratus, namun saya percaya menjelang 2023, kita akan bersedia sehingga 80 peratus,” katanya kepada BH.
Semalam, Ahmad Faizal mengadakan pertemuan dengan Presiden MBM, Jufitri Joha di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam pertemuan selama kira-kira 30 minit itu, beliau turut menyatakan persetujuan bertemu dengan 41 persatuan yang bernaung di bawah MBM bagi membincangkan isu itu.
Terdahulu pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun bermula 1 Januari hadapan.
Muhd Fadzli berkata, walaupun pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia sudah diluluskan dalam Parlimen, ia belum diwartakan kerajaan.
Oleh itu, katanya, KBS perlu mendengar terlebih dahulu keadaan 41 persatuan belia sebelum mewartakan pelaksanaan itu.
Beliau berkata, ketika ini, banyak kekangan yang dihadapi pelbagai persatuan dan perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Selain itu, katanya, pandemik COVID-19 yang melanda negara turut menyebabkan pelbagai program untuk melahirkan pimpinan muda negara tidak dapat dilaksanakan.
Artikel penuh: