Majlis Belia Malaysia dengan kerjasama Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) – Malaysia telah menganjurkan ASEAN Youth Dialogue bertempat di Auditorium Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya pada Sabtu, 15 November 2014. Program yang berlangsung dari 10 pagi hingga 5 petang itu telah melibatkan seramai 400 orang peserta dari sekitar Kuala Lumpur.
Fokus utama program adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan belia Institusi Pengajian Tinggi tentang inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ASEAN dan cabaran serta persediaan belia Malaysia untuk memainkan peranan dalam pembentukan Komuniti ASEAN menjelang 2015. Majlis telah diserikan dengan kehadiran dan ucapan pembukaan oleh Profesor Datuk Dr Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya.
Topik yang diketengahkan ialah Komuniti Politik Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN, dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN. Barisan panel terdiri daripada Prof Madya Dr Jatswan Singh (Pensyarah JabatanPolitik Universiti Malaya), En Suhaimi Jaafar (Pengarah Komuniti Politik Keselamatan ASEAN, Kementerian Luar Negeri Malaysia), En Syed Nabil Fauwaz Aljeffri (Setiausaha Agung, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN), En Yusri Firdaus (Bahagian Perhubungan Antarabangsa-Kebudayaan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia), dan Sdri Putri Balkis Mohamad Nor (Majlis Belia Malaysia).
Setiap panel telah memberi penerangan yang berinformasi tentang inisiatif rantau ASEAN selain membuka ruang persoalan dari para peserta. Melalui borang kaji selidik yang diedarkan, program penerangan interaktif seumpama perlu diperbanyakkan bagi menarik minat belia untuk bersama-sama menggerakkan Komuniti ASEAN.
Peserta juga telah diperkenalkan dengan program-program YSEALI di bawah inisiatif Presiden Amerika, Barrack Obama. Inisiatif ini sebagai salah satu usaha untuk mengembangkan jaringan golongan muda ASEAN dengan Amerika.