Saya dijemput untuk memberikan perspektif seusai Pra-Induksi Pimpinan Pertubuhan Belia Kerapatan Graduan Muda (KAGUM). Sebahagian besarnya saya berkongsi seperti di bawah.
Kepentingan sektor ketiga iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada pembangunan negara tidak dapat disangkal lagi. Kebiasaan terma yang yang lebih positif dan progresif digunakan iaitu pertubuhan masyarakat sivil / madani atau civil society organization (CSO).
Sektor ketiga ini melengkapi sektor pertama (Kerajaan) dan sektor kedua (swasta) bahkan mampu menyumbang kepada perkembangan ekonomi, keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan kesejahteraan rakyat bahkan menangani jurang ekonomi.
Khazanah Research Institute (KRI) telah mengeluarkan satu laporan 2014 bertajuk “The State of Household” yang membincangkan tentang isu-isu kebiasaan yang menghambat isi rumah (household) seperti pendapatan & perbelanjaan isi rumah, kos sara hidup, harga barang dan hutang isi rumah.
Selain solusi kebiasaan berkaitan ekonomi, laporan KRI tersebut turut menyebut satu solusi di luar kebiasaan iaitu mempromosikan sektor ketiga yang lebih sistematik dan tersusun. Kehadiran lebih banyak sektor yang tidak berasaskan keuntungan ini menjadi indikator kepada kesihatan ekonomi.
Di negara-negara seperti Australia (Australian Charities and Not-for-Profit Commission) dan United Kingdom (The Charity Commission) mempunyai suruhanjaya dan akta yang khusus untuk meregulasi sektor ketiga ini bagi memastikan ia dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam ekonomi dan mendapat teras keyakinan masyarakat untuk menyumbang kepada CSO dan NGO ini.
CSO punyai kelebihan iaitu mereka berorientasikan nilai untuk mencapai matlamat sosial seperti memperbaiki kebajikan awam, pendidikan, kesihatan, alam sekitar dan kesejahteraan umum rakyat. Sudah sampai masanya sektor ketiga ini melengkapi komitmen Kerajaan terhadap agenda rasionalisasi fiskal dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dengan ‘income equality’ dan ‘no one left behind’.
Dalam Model Baharu Pembangunan Belia yang diderafkan oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) turut mencadangkan agar gerakan belia bergerak ke arah profesionalisme dan kerjaya sepenuh masa. Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) juga seharusnya membuat penalaan ke arah yang sama. MBM juga wajar mengagaskan idea penubuhan suruhanjaya kebajikan ini sementelah ia telah lama dicadangkan dan Kerajaan pula perlu menjimatkan wang negara di kala kemelesetan melanda.
Saya turut memperjelaskan tentang pentingnya mempersoalkan mengapa kita menyertai gerakan belia. Menjawab persoalan ini penting bagi memastikan kita mempunyai idealisme perjuangan yang jelas dan terus bermotivasi menggerakkan usaha tanpa diketuk atau disuruh.
Persoalan mengapa ini dibahaskan secara panjang oleh Simon Sinek dalam karyanya “Start with Why: How Great Leaders Inspire Everyone to Take Action” di mana seorang tokoh kepimpinan terkenal Dr. د. طارق السويدان Dr. Tareq AlSuwaidan dari Kuwait turut memetik kata-kata Sinek dalam bukunya “Islam Simplified, Understanding Islam Through Its Goals”, “Understanding the “Why” or purpose behind anything will inspire action, increase loyalty and commitment and prove enough momentum to turn an idea into a social movement”. Dr.Tareq berhujah Islam juga mementingkan persoalan “Why” kerana Islam mengiktiraf kepentingan tujuan dan makna. Sebab itu dalam Islam ada bab Maqasid As Shariah atau Objektif Tertinggi Shariah.
Persoalan ‘social movement’ menarik untuk dikupas kerana gerakan belia seharusnya berupaya menggerak dan memobilasi massa melakukan perubahan tuntas dengan menggunakan ruang demokrasi yang dibenarkan. Gerakan belia juga harus radikal dengan pendekatan ‘radical middle way’ tetapi bukannya ‘far left’ mahupun ‘far right’.
Sebab itu saya amat gemar menggunakan istilah gerakan pada gerakan belia daripada pertubuhan atau persatuan kerana gerakan mempunyai konotasi proaktif dan agresif. Jika ada kesempatan lain, saya cuba bahaskan perbezaan dan taksonomi antara gerakan, pertubuhan dan persatuan.
Justeru mempersoalkan “Why” kepada pemimpin gerakan belia dapat membantu membugar idealisme perjuangan dan kekal bermotivasi dalam gerakan belia menggerakkan pelbagai agenda berkaitan kepentingan belia dan Negara.
Pemimpin belia juga harus memastikan motivasi pemimpin dan ahlinya terus subur dengan memerhati dan menghakupayakan 3 perkara yang disebut Daniel Pink dalam bukunya “Drive, The Suprising Truth About What Motivates Us”, iaitu autonomy, mastery dan purpose.
Pemimpin belia harus memberikan autonomi (self-directed) untuk orang bawahannya bebas berkarya lagipun anak muda memang suka kepada autonomi dan tidak dikongkong. Di sini berlakunya penghakupayaan atau empowerment yang sering menjadi tema penting pembangunan belia.
Gerakan belia juga wajar menjadi medium kepada ahli-ahlinya mempelajari kemahiran baharu dan mempelajari antara satu sama lain sekaligus menjadikan gerakan belia sebagai “learning organization”. Mereka memperolehi banyak perkara dan kemahiran baharu bila menyertai gerakan belia dan tidaklah gerakan belia itu membosankan tanpa ada apa apa perkara baru dan menarik untuk ditawarkan.
Akhirnya penting juga pemimpin belia menekankan aspek ‘purpose’ di mana menganjurkan aktiviti dan perkara yang memberikan sesuatu yang mempunyai makna dan penting dalam kehidupan orang bawahan dan ahli-ahlinya.
Sebagaimana kisah John Wood pengasas Room to Read yang menceritakan dalam bukunya “Leaving Microsoft to Change the World” bahawa beliau menjumpai makna diri apabila membuat kerja-kerja sukarela membantu kanak-kanak mendapatkan akses bahan bacaan di pedalaman Nepal daripada bekerja di kerusi empuk Microsoft.
Elemen-elemen ini wajar ditekuni dan diberikan penekanan oleh pemimpin belia bagi memastikan gerakan belia mempunyai idealisme perjuangan dan kekal termotivasi menjadi aktivis gerakan sosial.
Disediakan oleh:
Sdr. Jufitri Joha
Presiden Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 6 Jun 2021