Telah berlangsung pertemuan Ahli Dewan Tertinggi (DT) Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Pimpinan MBM bersama YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu Menteri Belia dan Sukan bagi merundingkan isu tarikh pewartaan dan penguatkuasaan had umur belia 30 tahun.
Pertemuan berlangsung dengan penuh suasana muhibbah bagi mencari titik persamaan dan penyelesaian isu yang menjadi titik bengit antara MBM, gerakan belia dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) sejak beberapa tahun lepas.
YB Dato’ Seri mendengar setiap butir hujahan, keluhan dan permasalahan dengan teliti daripada setiap wakil DT dan inilah adalah amalan terbaik sebelum memutuskan sesuatu perkara berkaitan kepentingan belia dan gerakan belia dengan melakukan rundingan dengan pemegang taruh.
Mesyuarat bersepakat bahawa isu had umur belia 30 tahun perlu disokong namun soal tarikh pewartaan dan penguatkuasaan had umur perlu dibincang dan disepakati secara bersama.
Mesyuarat juga bersepakat dan bersetuju menangguhkan pewartaan dan penguatkuasaan had umur yang dijadualkan pada 1 Januari 2022 ke satu tarikh munasabah yang akan dirundingkan bersama MBM dan KBS.
Untuk itu, MBM dan KBS akan membentuk jawatankuasa khas untuk memperhalusi dan mengenalpasti tarikh yang sesuai bagi pewartaan dan penguatkuasaan had umur serta mencari formula terbaik transisi kepimpinan serta sistem sokongan pengkaderan belia ke dalam gerakan belia.
MBM menyeru semua pemimpin gerakan belia agar terus komited meremajakan gerakan belia dengan melatih lebih ramai kepimpinan baharu di samping prihatin dan mengambil tindakan segera menangani pelbagai permasalahan belia seperti ekonomi, pekerjaan, pendidikan dan kesihatan mental.
MBM ingin merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan kesediaan YB Dato’ Seri dan kepimpinan tertinggi KBS bertemu dengan DT dan MBM untuk berdialog.
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)
Tarikh: 15 Disember 2021