KUALA LUMPUR 4 September – Majlis Belia Malaysia menerusi Biro Wanita, Kanak-Kanak dan Kesihatan terus meletakkan agenda kesejahteraan keluarga belia dan pendidikan awal kanak-kanak sebagai keutamaan.
Satu sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan di antara MBM yang diwakili oleh Naib Presiden Wanita, Saudari Ng Chor Eng Jessy, bersama pihak TKC Education Group yang diwakili oleh Puan Eny Zaniza Yasir, General Manager TKC Education Group, Puan Sabriani Mustaming, Talent Development TKC Education Group, serta Faiz Shuhaimi, Project Manager SIPT 2026.
Perbincangan tersebut berkisar mengenai tahap kesediaan young parents atau ibu bapa muda dalam mengendalikan pendidikan awal anak-anak. MBM menekankan bahawa golongan belia yang kini bergelar ibu bapa memerlukan sokongan maklumat dan pendedahan yang tepat berkenaan fasa perkembangan kanak-kanak.
Dalam pertemuan tersebut, TKC Education Group turut memperkenalkan pendekatan Play School iaitu model pendidikan awal yang masih kurang diterokai di Malaysia. Pendekatan ini memberi tumpuan kepada konsep pembelajaran menerusi bermain (play-based learning) yang mesra dan saksama untuk semua kanak-kanak, terutamanya bagi mereka yang mempunyai cabaran perkembangan seperti development delay, autism, dan sebagainya.
Hasil perbincangan ini membuka ruang kerjasama yang berpotensi tinggi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya belia, tentang kepentingan pendidikan awal yang inklusif serta menyokong peranan ibu bapa muda secara lebih holistik.





