Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
DI MANA pun negara atau masyarakat, bidang pendidikan adalah suatu aspek sangat penting untuk difikirkan. Sesebuah negara maju sering dikaitkan dengan kejayaan pentadbirannya untuk melaksanakan satu sistem pendidikan yang baik dan terkehadapan.
Dalam konteks Malaysia, aspek pendidikan bukan lagi dijadikan medan untuk anak warganya meraih manfaat ilmu semata-mata, namun lebih daripada itu, bidang pendidikan menjadi tempat bergantung bagi memastikan kelangsungan negara dalam aspek perpaduan, kenegaraan dan keharmonian masyarakat Malaysia.
Sebab itu jugalah kita tidak hairan apabila aspek pendidikan sering menjadi isu hangat yang diperdebatkan dalam media massa, ruang perbincangan formal atau perbualan di kedai kopi. Apatah lagi negara ini mengamalkan sistem unik yang meraikan kepelbagaian praktis dalam sistem persekolahan anak mengikut aliran kebangsaan dan aliran Cina dan Tamil. Ia adalah gambaran betapa sukarnya mengurus negara seperti Malaysia yang memiliki pelbagai kerencaman budaya, kaum, agama dan psikografi.
Syukurlah kerana sehingga kini Malaysia masih mampu bernafas dan berlari. Bagi sesetengah negara, suasana masyarakat yang ada seperti di Malaysia mungkin mengundang konflik kaum berpanjangan. Sesungguhnya sama ada anda suka atau tidak, hakikatnya kerajaan yang diberi mandat mentadbir negara ini sejak merdeka sudah berjaya mengharungi cabaran pentadbiran dan pembangunan negara.
Di antara formula yang ternyata terbukti mampu menjaga keamanan dan keharmonian negara kita ialah adanya sistem dan pelan pembangunan pendidikan bersepadu.
Sehingga sekarang, penulis yakin masih banyak pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) menjadikan hasil Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sebagai fokus perbincangan serta perdebatan dalam banyak siri meja bulat, simposium, konvensyen atau mesyuarat.
Benarlah seperti dinyatakan baru-baru ini oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran sewaktu melancarkan Himpunan Guru Muda 1Malaysia di Johor Bahru yang menyatakan: “Apa saja yang berlaku dalam sekolah dan bilik mesyuarat di Kementerian Pelajaran Malaysia pasti akan menjadi perhatian rakyat.” Menurut beliau, hakikatnya seolah-olah ada seramai 28 juta pakar bidang pendidikan akan menganalisis dan mentafsir setiap perkataan yang beliau sebutkan berkaitan pendidikan.
Bagi golongan muda serta belia, adalah amat penting bagi kita sama-sama memahami Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang meletakkan 11 teras anjakan tranformasi bagi melahirkan negara bangsa yang terbilang pada masa hadapan.
Menariknya, PPPM yang disasarkan mulai 2013 hingga 2025 dihasilkan selepas pihak kerajaan meneliti ke semua input daripada kumpulan pakar dalam serta luar negara, pentadbir dan pelaksana dasar pendidikan, wakil ibu bapa, pelajar dan kumpulan berkepentingan. Paling menarik perhatian semua pihak ialah apabila kerajaan menyediakan skim perjawatan yang menarik kepada guru.
Peluang naik pangkat dan meningkatkan potensi kerjaya dalam profesion perguruan kini dilihat di antara tarikan hebat di sektor perjawatan awam. Penulis pasti, kerjaya guru kini akan semakin diminati dan menjadi buruan kebanyakan orang muda.
Menurut Menteri Pelajaran, jika dibandingkan dengan beban tugas Pegawai Daerah yang terpaksa mengawal selia sebuah daerah dengan pelbagai masalah serta cabaran yang meliputi puluhan kampung, jumlah penduduk yang padat dan pelbagai ragam, kini seorang guru hanya perlu menumpukan tugasan hakiki dalam lingkungan sekolah, pengajaran serta ragam murid untuk sampai ke tahap gred jawatan yang sama dengan seorang Pegawai Daerah iaitu gred 52 atau 54.
Namun begitu, di sebalik peluang kerjaya dan perjawatan yang menarik itu, kerajaan khabarnya akan memilih calon guru dalam kalangan individu yang memiliki keputusan terbaik dalam setiap tahap pengajiannya.
Memang sudah sampai masanya anak kita diajar serta dibimbing oleh guru yang pernah mengecapi kejayaan mendapatkan markah ‘A’ bagi setiap mata pelajarannya. Dengan cara ini, kita boleh meletakkan harapan tinggi kerana guru berkenaan secara peribadi membuktikan kemampuannya. Dalam sudut pandangan orang muda, PPPM sebenarnya satu lagi bentuk pengiktirafan kerajaan terhadap kemampuan serta potensi golongan belia di negara ini. Tempoh 12 tahun pelaksanaan PPPM menuntut agar guru muda mensiapsiagakan diri dengan iltizam dan kesediaan untuk bekerja penuh tekun dan ikhlas untuk membina bangsa dan negara.
Guru muda perlu bersedia mengubah cara bekerja untuk berhadapan dengan keperluan pendidikan yang semakin kompleks. Kesediaan Timbalan Perdana Menteri untuk turun bertemu dengan guru muda yang berusia di antara 22 hingga 40 tahun pada program Himpunan Guru Muda 1Malaysia di Johor Bahru minggu lalu membuktikan betapa kudrat dan sumbangan guru muda untuk memartabatkan sistem pendidikan negara bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh.
Tenaga guru muda ini menyumbang lebih 52 peratus atau seramai 200,459 guru daripada keseluruhan guru di Malaysia. Tanpa bermaksud mengetepikan sumbangan guru yang lebih senior, guru muda ini bertanggungjawab untuk menjadi peneraju dan penggerak penting bagi pelan pendidikan tersebut.
Hanya Iltizam dan komitmen tinggi mampu memastikan mereka kekal cemerlang bagi tempoh antara 22 hingga 37 tahun akan datang iaitu sehingga mencapai umur persaraan wajib pada usia 60 tahun. Maknanya, kita tidak lagi boleh mendengar keluh kesah dan rungutan daripada guru muda berkaitan profesion ini. Guru sedaya upaya harus menjadi manusia ‘sempurna’ di hadapan anak murid walaupun hakikatnya mereka manusia biasa.
Jarak tempat bertugas, kerenah anak, beban tugas serta perubahan serta pelaksanaan dasar pendidikan seharusnya dijadikan asam garam yang perlu ditelan sehingga lumat dan jangan dijadikan alasan yang boleh menjejaskan prestasi tugas.
Hal ini penulis timbulkan kerana baru-baru ini seorang pensyarah terkenal menyatakan bahawa tahap tekanan atau stres dalam kalangan pendidik serta pensyarah kian meningkat sehingga menjejaskan tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Sudah pasti ia suatu kenyataan yang amat membimbangkan kerana yang mendapat kesan langsung daripada masalah itu adalah murid serta pelajar itu sendiri. Pokok pangkalnya, guru muda harus menjadikan kerjaya guru sebagai satu perjuangan, bukan sekadar kerjaya untuk mendapatkan gaji. Pelajari kisah kejayaan serta pengorbanan guru terdahulu. Malah, guru muda sekalian harus mengakui bahawa pengorbanan hebat guru terdahulu jugalah yang membuahkan segala ganjaran dan manfaat yang menarik untuk diraih dalam profesion ini.
Bagi pihak Majlis Belia Malaysia (MBM), kami akan menyokong dan membantu sekretariat Guru Muda 1Malaysia (GM1M) bagi mengembangkan potensi golongan belia dalam bidang pendidikan.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM