PUTRAJAYA, 28 Mei 2012 : Himpunan Jutaan Belia 2012, yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara menutup tirainya semalam dengan mencipta rekod kehadiran dua juta belia sepanjang karnival lima hari itu.
Ini secara tidak langsung membuktikan usaha kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan untuk mendekati belia di negara ini berada di landasan yang tepat. Bertemakan ‘Hari Ini Lebih Baik Berbanding Hari Esok’, 500 aktiviti yang membabitkan 38 segmen dengan 1,000 persembahan diadakan sejak Rabu lalu, memperlihatkan pusat pentadbiran negara seolah-olah ditawan oleh generasi muda. Kemuncak sambutan Hari Belia Negara tahun ini ialah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengunjungi ke tapak karnival dan beramah mesra dengan belia, semalam. Najib, Rosmah dan Menteri Kabinet menggunakan peluang yang ada untuk bersama-sama golongan muda. Mereka mengunjungi ke tapak gerai seperti My Kampung Art, Little India Street, Chinese Youth Cultural Village dam juga Japanese Fest selama kira-kira satu jam.
Kehadiran Perdana Menteri dan isteri di tapak karnival disambut ribuan belia dengan memakai baju-T berwarna-warni dengan perkataan ‘I Love PM’ sebagai tanda sokongan dan hormat kepada pemimpin nombor satu negara.
Selain sorakan, tepukan dan paluan gendang, sepanduk serta kain rentang seperti ‘We Stand Behind You, PM!’, Terima Kasih PM dan ‘N.A.J.I.B, Najib Adalah Jaguh Inspirasi Belia’ terpampang sepanjang Dataran Persiaran di sini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berpuas hati dengan sambutan Hari Belia Negara tahun ini dan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet agar penganjuran Himpunan Jutaan Belia terus diadakan di Putrajaya, yang juga bandar mesra belia, tahun akan datang.
“Perhimpunan kali ini jauh lebih meriah dan unik cara sambutannya. Himpunan kali ini adalah karnival terbesar negara dengan pelbagai kreativiti golongan muda.
“Kita percaya penganjuran karnival ini akan membangkitkan semangat golongan muda dan cinta pada Putrajaya sekali gus meneruskan kejayaan negara yang ada sekarang,” katanya merumuskan penganjuran Himpunan Jutaan Belia 2012.
Karnival yang diyakini bakal menjadi 10 karnival terbesar dunia itu turut dilihat dapat merapatkan jurang antara pemimpin negara pada masa ini dengan golongan pemimpin negara pada masa akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein misalnya, sanggup duduk bersila bersama generasi muda ketika merasmikan Y-Avenue, salah satu program pada sambutan itu.
Meskipun Himpunan Jutaan Belia tahun ini ‘tercemar’ apabila satu kemalangan berlaku ketika acara perlumbaan drag di Lebuh Wadi Ehsan di Presint 19 di sini tengah malam kelmarin, Ahmad Shabery berharap kejadian itu tidak dipolitikkan.
Seramai 17 penonton perlumbaan drag cedera termasuk empat yang parah apabila sebuah kereta perlumbaan terbabas ketika sesi ujian sebelum melanggar penonton yang berada di luar kawasan dibenarkan.
Mangsa yang kini berada di Hospital Putrajaya untuk mendapat rawatan lanjut dan polis sedang menjalani siasatan.
Ahmad Shabery berkata, kemalangan itu tidak harus menenggelamkan semangat belia untuk bersukan, bergiat dan membabitkan diri dalam aktiviti sihat. – BERNAMA