KUALA LUMPUR 11 Jun – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan perbincangan mengenai isu cadangan kontroversi pengajaran agama-agama utama di Malaysia yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS). Perbincangan ini dihadiri Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha dan turut disertai ahli Jawantankuasa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan MBM, Jawatankuasa Belia JKMPKA, ahli akademik dan pakar perbandingan agama.
Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk mencadangkan mengekalkan subjek yang sedia ada bahkan diperkasakan. Dalam erti kata lain, subjek agama Islam dipelajari oleh murid beragama Islam manakala murid bukan Islam diberikan peluang mempelajari subjek agama masing-masing melalui pendidikan moral, sivik dan kewarganegaraan. Ini dipercayai dapat mempersiapkan generasi muda menjadi masyarakat yang mempunyai kesedaran beragama selaras dengan prinsip Rukun Negara bagi berhadapan dengan cabaran sekularisme, atheisme dan gejala sosial.
Mesyuarat juga mencadangkan agar subjek TITAS dan Hubungan Etnik disemak dan diperkasakan semula di samping melatih lebih ramai tenaga pengajar yang berilmu dan berkemahiran untuk mengajar TITAS. Cadangan ini akan diangkat oleh IAIS kepada pihak Kementerian Pendidikan.