MAJLIS BELIA MALAYSIA

Peranan media dalam Badan Bukan Kerajaan

Oleh:

Jufitri Bin Joha

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Pada peringkat awal kewujudan Badan Bukan Kerajaan atau Non-Governmental Organization (NGO) atau istilah yang lebih murni Civil Society Organization (CSO), ianya banyak terlibat dalam menyediakan perkhidmatan berbentuk kebajikan dan sosial, namun peranan kumpulan ini didapati semakin menyerlah dalam hal-hal berkaitan dasar kerajaan. Ini antara lain ketara melibatkan aspek-aspek seperti politik, demokrasi, urustadbir, hak asasi manusia dan sebagainya. Kepelbagaian peranan yang dimainkan oleh Badan Bukan Kerajaan didapati telah menarik minat pelbagai pertubuhan antarabangsa dan ahli akademik untuk menelitinya secara empiris.

Dr. Norma Mansor, Profesor di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, di dalam tulisannya berkenaan Badan Bukan Kerajaan menyatakan NGO memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan kerajaan. Ia disebut sebagai sektor dan actor ketiga yang membantu menyelesaikan masalah negara dan menangani pelbagai keperluan sosial secara cepat termasuk isu kemiskinan dan pengangguran ke arah kesejahteraan rakyat. NGO mempunyai apa yang disifatkan oleh Toffler sebagai kelajuan atau ‘speed’. Menurut Stephen Heintz, dalam ucapannya bertajuk The Role of NGOs in Modern Societies and an Increasingly Interdependent World, peranan NGO dibahagikan kepada tiga bidang utama. Heintz adalah Presiden Rockefeller Brothers Fund, sebuah organisasi yang terkenal dengan kerja philanthropy. Pertama, NGO membuka peluang mewujudkan organisasi masyarakat tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian sesebuah masyarakat. NGO ditubuh dan diurus oleh individu yang bekerja secara kolektif dan sukarela. Objektif NGO ini ialah untuk mempromosi nilai sosial dan matlamat sivik kepada mereka yang merangkumi bidang alam sekitar, kesihatan, pembasmian kemiskinan, budaya dan sastera, pendidikan dan sebagainya. Kedua, NGO mengisi ruang unik dan penting antara sektor swasta yang mementingkan keuntungan dan kerajaan yang mempunyai limitasi tertentu.

Kekuatan media amat mempengaruhi bukan sahaja gerak kerja, malah pengaruh sesebuah NGO itu. Maksud kekuatan media ini adalah sejauh mana NGO itu mampu menguasai cabang media samada media cetak dan media elektronik dalam menyampaikan pendirian mereka. Media memainkan peranan cukup penting dalam menyampaikan ideologi, pendirian, fungsi sebenar dan kekuatan sesebuah NGO itu. Media juga mampu berfungsi sebagai ejen penghubung antara masyarakat dengan NGO. Dengan kata lain, keberadaan sesebuah NGO tu di mata orang awam banyak bergantung kepada kekuatan media mereka. Ia harus dikuasai oleh mana-mana pertubuhan bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan persepsi terhadap sesebuah pertubuhan itu sendiri.

Hubungan simbiosis media-NGO harus dipandu ke arah saluran yang bersifat positif. Ini terutama dalam mendepani kebanjiran media baharu masa kini yang dilihat sesetengahnya banyak memberi pengaruh negatif kepada golongan belia. Ini sekaligus memungkinkan perpaduan yang cuba dipertahankan dalam kalangan belia di Malaysia terjejas. Justeru, langkah wajar perlu dilaksanakan dalam memastikan media baharu, antaranya seperti laman sosial Instagram, Facebook, Telegram dan Twitter, selain blog-blog dapat memainkan peranan penting dalam usaha memantapkan perpaduan dalam kalangan belia di negara ini.

Dalam masa yang sama, NGO perlu bijak dalam menjadikan platform media sosial ini sebagai medium penting untuk mendekati ahli serta masyarakat. Hal ini adalah kerana media sosial mempunyai pengaruh yang cukup besar terutama dalam kalangan belia. Majoriti belia berkomunikasi di alam siber. Menurut data daripada SensorTower, lima aplikasi yang paling banyak dimuat turun di telefon pintar seluruh dunia pada tahun 2019 adalah WhatsApp, Messenger, TikTok, Facebook dan Instagram. Data ini jelas menunjukkan ranking ini dikuasai sepenuhnya oleh aplikasi yang berteraskan media sosial. Bagi maksud itu, NGO perlu bergerak seiring dengan trend semasa ini bagi mempromosikan aktiviti mereka agar fungsi dan peranan NGO dapat terus dilihat relevan di mata masyarakat, terutama golongan belia.

Kita boleh jadikan sebuah NGO sukarelawan Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) di bawah Global Peace Mission (GPM) Malaysia sebagai contoh yang baik dalam aspek kekuatan media yang ada pada mereka. Begitu juga dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), sebuah NGO yang memperjuangkan hak pengguna di Malaysia. Kedua-dua NGO ini dilihat bersifat transparent dengan masyarakat serta sentiasa mempunyai pengisian yang positif untuk disampaikan di dalam media sosial. Mereka juga amat cakna dalam memberi maklum balas terhadap apa jua isu yang terjadi di negara ini. Dalam masa yang sama, sesebuah NGO itu perlu berani untuk melabur dalam menyediakan unit media mereka sendiri agar segala gerak kerja berkaitan media menjadi lebih lancar.

Majlis Belia Malaysia (MBM) juga tidak ketinggalan untuk memastikan ketembusan media sosial bagi mendekati belia di alam maya bagi mempromosikan advokasi dan aktivitinya. Perkara yang baik yang dibuat oleh MBM perlu dihebahkan bagi membentuk impak yang lebih besar demi memastikan keberkesanan MBM sebagai suara belia Malaysia. Kesediaan pelatih muda syarikat Oppo berkolaborasi membantu untuk membentuk ‘social media branding’ MBM dengan projek R.I.S.E. (Reform. Inspire. Shine. Encourage) amat dihargai bagi menggunakan idea dan kepakaran mereka yang lebih arif bagi mendekati anak muda di alam siber. Dengan umur mencecah 72 tahun, MBM akan terus kekal releven jika berjaya melakukan repositioning termasuk salah satunya melalui penjenamaan ‘social media branding’. Kuasa ‘like’, ‘follow’ and ‘share’ menjadi kuasa pengaruh baru dunia alam siber.

Bertarikh  : 28 September 2020

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »